Empat perkara patut dijaga di akhir zaman

Iklan
HABIB Ali menyampaikan pesanan Rasulullah SAW di akhir zaman.

MENURUT Habib Ali Zaenal Abidin dengan mengambil iktibar daripada hadis, beliau mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati apabila melihat beberapa keadaan mula berleluasa dalam masyarakat.

“Antaranya apabila orang kedekut menjadi ikutan, hawa nafsu dijadikan tuntutan, dunia diutamakan berbanding akhirat dan seseorang berasa terlalu yakin dengan pendapat sendiri,” ujarnya

Iklan
Iklan

1 - Sifat kedekut menjadi ikutan

Menurutnya, kedekut bukan sekadar enggan mengeluarkan harta untuk kebajikan, bahkan termasuk kedekut dalam memaafkan kesalahan orang lain serta enggan menutup aib mereka.

Iklan

MOHAMED Shaiful Nizam (berdiri tengah) bersama ahli jawatankuasa Maulid Akbar bergambar kenangan dengan Habib Ali (duduk tengah).

Dalam soal harta, umat Islam perlu memastikan kewajipan seperti zakat ditunaikan dan harta digunakan pada jalan yang diredai ALLAH SWT.

Iklan

Beliau turut mengingatkan bahawa harta yang benar-benar menjadi milik seseorang ialah harta yang dibelanjakan pada jalan kebaikan, manakala harta yang disimpan akhirnya menjadi milik waris selepas kematian.

2 - Hawa nafsu jadi tuntutan

Menurut pendakwah itu, seseorang tidak boleh menjadikan setiap keinginannya sebagai sesuatu yang mesti dipenuhi tanpa mengira halal atau haram.

“Jangan kita menjadi hamba kepada hawa nafsu. Jadikan hawa nafsu sebagai hamba kepada ALLAH SWT.

“Apa yang kita inginkan, kita mesti terlebih dahulu melihat apa yang syariat katakan, boleh atau tidak boleh,” hurainya.

3 - Dunia didahulukan berbanding akhirat

Katanya, manusia sering menganggap kehidupan akhirat masih jauh lalu terlalu mengejar dunia sehingga kewajipan terhadap ALLAH SWT diketepikan, sedangkan kehidupan dunia hanyalah sementara.

4 - Terlalu yakin dengan pendapat sendiri

Perkembangan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga menuntut umat Islam lebih berhati-hati, ujar Habib Ali.

“Teknologi boleh disalahgunakan untuk menghasilkan suara, wajah atau kandungan palsu bagi memperdaya orang lain, termasuk menggunakan identiti individu tertentu untuk tujuan yang tidak baik.

Jadikan rumah tempat selamat

Apabila berdepan keadaan masyarakat yang penuh dengan fitnah, Rasulullah SAW turut mengajar umat supaya menjaga diri.

Menurutnya, arahan Rasulullah SAW supaya “duduk di rumah” tidak bermaksud seseorang perlu mengasingkan diri daripada kehidupan masyarakat, sebaliknya menjadikan rumah sebagai tempat yang paling selamat daripada kerosakan dan fitnah.

PERARAKAN turut diadakan sempena Maulid Akbar, Bukit Bendera Berselawat.

“Di luar kita mungkin tidak boleh kawal apa yang orang lakukan, tetapi di rumah kita boleh kawal.

Selain itu, umat Islam disaran menjaga lisan dan tidak mudah memberikan komen terhadap setiap perkara yang muncul di media sosial.

“Kalau hendak komen, pastikan komen itu baik. Jangan rasa kita mesti komen semua perkara kerana takut terpinggir daripada masyarakat.

“Ini kerana komen kita itu akan ditanya ALLAH SWT kelak. Jadi, berhati-hatilah dengan apa yang keluar daripada mulut dan apa yang ditaip oleh tangan,” katanya.

Akhirnya, beliau mengajak umat Islam sentiasa bermuhasabah, menangisi dosa dan kembali kepada ALLAH SWT. “Jadilah orang yang jujur dan amanah apabila pendusta dan pengkhianat mula dipercayai.

“Itulah antara cara kita memelihara diri apabila tanda-tanda fitnah akhir zaman semakin banyak berlaku,” katanya.

Dalam program tersebut, lebih 3,000 jemaah membanjiri Masjid Habib bagi menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Program anjuran Pertubuhan Ummah Malaysia (Puma) dengan kerjasama Masjid Habib dan Yayasan Restu itu menghimpunkan masyarakat setempat dan para jemaah dari sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.

HABIB Ali turut memimpin selawat sempena Maulid Akbar.

Kumpulan qasidah Angham Anisah yang dipimpin oleh Ustaz Ibrahim Al-Ansari dan Gus Husaini turut menghidupkan suasana majlis dengan alunan bacaan maulid dan qasidah.

Menurut Presiden Puma, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, penganjuran Maulid Akbar, Bukit Bendera Berselawat bukan sekadar sebuah majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW, tetapi merupakan usaha untuk menghidupkan budaya selawat dan menyuburkan kecintaan kepada Baginda dalam kehidupan masyarakat.

Tambahnya, program tersebut turut menjadi wadah untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan masyarakat.