JOHOR BAHRU – Cadangan mewujudkan sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS 2) yang bakal menghubungkan Tuas dan Iskandar Puteri menjadi antara topik utama perbincangan dalam pertemuan rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam di The Istana Singapura membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala antara Johor dan Singapura termasuk perkembangan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Onn Hafiz berkata, pertemuan itu mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara jiran serta tekad bersama untuk membawa kerjasama ke tahap yang lebih strategik dan holistik.
“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, saya telah mengutarakan beberapa cadangan strategik termasuk menghubungkan Tuas ke Iskandar Puteri melalui sistem RTS 2,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sehingga kini Johor telah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan berkaitan JS-SEZ dengan 70 pelabur menunjukkan minat serius termasuk 11 syarikat yang dirujuk secara terus oleh agensi pelaburan Singapura.
“Saya turut berkongsi kejayaan penubuhan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor (Invest Malaysia Facilitation Centre Johor, IMFC-J) sebagai pemudah cara utama pelaburan dan penyelarasan dasar,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga, Onn Hafiz berkongsi prestasi ekonomi Johor bagi suku pertama tahun ini yang mencatat pertumbuhan sebanyak 6.4 peratus, tertinggi di Malaysia serta pelaburan mencecah RM30.1 bilion.
“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang kukuh, stabil dan strategik,” ujarnya.
Sementara itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa Perdana Menteri Singapura menyambut baik kemajuan JS-SEZ dan berkongsi pandangan positif mengenai potensi kerjasama lebih luas dalam sektor tenaga, logistik serantau serta pengukuhan hubungan dua hala Johor–Singapura.
“Beliau turut menghargai usaha Johor memastikan pasaran buruh yang adil dan berdaya saing, serta menyatakan keterbukaan untuk meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan secara konstruktif,” katanya lagi.
Onn Hafiz menyifatkan pertemuan tersebut sebagai amat positif dan membuka lembaran baharu dalam kerjasama Johor–Singapura.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program rasmi selama tiga hari ke Singapura bermula Selasa, atas jemputan Menteri Luar negara itu, Dr Vivian Balakrishnan.
Menurut Kementerian Luar Singapura, Onn Hafiz turut berada di republik itu sebagai penerima Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF).
Beliau merupakan penerima LKYEF ke-82 dan yang kesembilan dari Malaysia – suatu pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada pemimpin muda berpotensi tinggi di rantau ini.