KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri kesal terhadap penglibatan segelintir rakyat tempatan yang disyaki menjadi dalang kepada kegiatan pencerobohan dan kecurian kayu gaharu di kawasan Taman Negeri Kenyir.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kegiatan terancang itu dipercayai membabitkan kartel tempatan yang memberi arahan kepada penceroboh warga asing menerusi komunikasi ketika berada dalam hutan.
Menurutnya, maklumat risikan mendapati beberapa warga asing yang ditahan pada Mei lalu dipercayai bertindak atas arahan pihak tertentu yang bertindak sebagai pengantara sindiket.
"Kita percaya ada orang tempatan yang menjadi 'kartel' kepada penceroboh asing. Mereka dilengkapi alat komunikasi canggih dan bergerak secara sistematik.
"Kerajaan negeri amat kesal kerana rakyat tempatan sendiri sanggup mengkhianati khazanah alam demi keuntungan sendiri. Kes ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjejaki mereka agar dapat dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT), Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku Abdul Rahman.
Razali berkata, bagi memperkasa kawalan dan pemantauan, kerajaan negeri telah menjenamakan semula Pasukan Pemantau Tasik Kenyir kepada Kenyir Rangers, selaras dengan pendekatan pengurusan geopark dan konservasi moden.
"Pasukan Pemantau Tasik Kenyir ini telah ditubuhkan sejak 1997. Namun dengan cabaran semasa, kita perlu memperkukuhnya dengan pelbagai pendekatan dan penglibatan agensi lebih meluas," katanya.
Beliau berkata, setakat ini terdapat seramai 80 anggota Kenyir Rangers dilantik melibatkan 16 agensi dan jabatan termasuk MPTNT, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri, APM, Jabatan Imigresen dan Tenaga Nasional Berhad.
Jelasnya, pasukan itu turut mendapat bantuan teknikal daripada dua NGO iaitu Panthera dan Nature Based Solutions yang menggunakan sistem SMART (Spatial Monitoring and Reporting Tool) dalam memantau kawasan hutan.
"Renjer masa kini bukan lagi hanya memantau secara fizikal, malah perlu menguasai aspek teknikal, komunikasi dan teknologi terkini dalam pengurusan hutan.
"Kerajaan negeri akan terus menyokong pemerkasaan renjer melalui penyediaan latihan, peralatan moden, insentif dan pembentukan kerjasama antara agensi dalam serta luar negara," ujarnya.