'Tandas wanita berlumut, ruang mandi lelaki terbuka' - JTK serbu penginapan pekerja kotor

Iklan
Hee Sem menunjukkan tandas pekerja wanita yang usang dan kotor.

MELAKA - Tindakan tidak bertanggungjawab majikan yang menyediakan tempat tinggal kotor dan daif kepada pekerja di sebuah tapak pembinaan projek perumahan di negeri ini terbongkar selepas serbuan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka.

Lebih menjijikkan apabila tandas wanita didapati berlumut serta kebanyakan pintunya berlubang di bahagian bawah, manakala ruang mandi lelaki pula dibina secara terbuka.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat majikan yang cuai dan gagal menyediakan kemudahan tempat tinggal selesa termasuk katil dan almari berkunci seperti yang ditetapkan di bawah Akta 446.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati majikan yang menggajikan seramai 57 pekerja tempatan dan 190 pekerja asing itu gagal menyediakan kemudahan penginapan yang memenuhi syarat ditetapkan.

Iklan

Katanya, majikan terbabit menyediakan empat blok rumah kontena dua tingkat jenis kabin, namun pemeriksaan mendapati keadaan persekitaran kotor, tidak selamat dan tiada kemudahan asas.

Tempat mandi pekerja lelaki dibina secara terbuka.

Iklan

"JTK Melaka telah membuka kertas siasatan terhadap majikan terbabit dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda hingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

"Penginapan tersebut juga tidak memiliki perakuan penginapan seperti yang diwajibkan di bawah Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JTK Melaka, Naziyah Said.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut mengesan dua premis perniagaan beroperasi tanpa lesen di kawasan tersebut dan mengeluarkan dua notis kompaun bernilai RM2,000 atas pelanggaran aspek kebersihan tapak pembinaan.

Dalam pada itu beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah menemui dua lokasi pembiakan nyamuk dan mengeluarkan arahan pembersihan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"Majikan terbabit turut diberi tempoh seminggu untuk mematuhi arahan dan membersihkan kawasan tersebut.

“Kita juga akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang melanggar peraturan demi menjamin kebajikan dan keselamatan pekerja," tegas beliau.

Dalam perkembangan beliau memaklumkan sebanyak 94 kompaun bernilai RM513,100 telah dikeluarkan kepada majikan di Melaka sejak penguatkuasaan Akta 446 bermula 1 Jun 2020.

"Majoritinya membabitkan kegagalan memperoleh perakuan penginapan atau pelanggaran syarat penginapan," ujarnya lagi.