SEREMBAN - Prosiding sebutan semula kes lelaki warga emas dikenali sebagai 'Ayang' yang sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri(IED) di Nilai, Disember lalu terpaksa ditangguhkan berikutan tertuduh dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Keadaan terkini, Yeoh Hock Sun,63, dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kepada Hakim, N Kanageswari di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Beliau memaklumkan yang tertuduh kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur(HKL).
"OKT sedang dirawat di HKL sejak 3 Februari lalu dan dia dimaklumkan dalam keadaan kritikal.
"Pengesahan tersebut telah difailkan oleh Pengarah Jabatan Penjara dan turut disahkan sendiri oleh doktor dari penjara," katanya.
Norazihah kemudian memohon tarikh sebutan semula kes untuk kehadiran tertuduh ke mahkamah dan pengesahan tahap kesihatannya daripada pihak hospital.
Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 9 Januari lalu, tertuduh terpaksa didakwa di Hospital Tuanku Jaafar di sini kerana sedang dirawat akibat kecederaan dialami dalam letupan yang berlaku.
Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi L200 Triton milik seorang lelaki berusia 47 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 5.55 pagi di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada tarikh sama, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, masing-masing di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai.
Bagi kesalahan berkenaan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 4 akta yang sama kerana menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan.