KUANTAN – Hasrat seorang pekebun durian untuk meraih keuntungan hasil jualan durian musang king dan D24 yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Gunung Benum, Raub tidak kesampaian apabila kenderaan yang membawa muatan durian itu ditahan pihak berkuasa, Rabu lalu.
Lelaki berusia 48 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda tersebut ditahan ketika membawa 919 kilogram (kg) durian bernilai kira-kira RM5,000.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati pokok durian itu ditanam dalam Kompartmen 91 hutan simpan berkenaan.
“Durian yang dirampas terdiri daripada gred C dan D, dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Kenderaan dan muatan telah disita untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zainuddin berkata, rondaan harian telah dijalankan sejak 21 Julai lalu susulan pelancaran Operasi Bersepadu bagi menangani pencerobohan Hutan Simpan Gunung Benum. Operasi itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), RELA serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub.
Tambah beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.
“Pegawai penyiasat JPNP akan menjalankan siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil kerana mengeluarkan hasil hutan (durian) tanpa kebenaran.
“Hutan Simpan Gunung Benum dikenal pasti menjadi lokasi tanaman durian serta buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, petai dan kantan yang ditanam secara haram oleh penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau berkata, lebih 40 kakitangan JPNP yang bergabung dengan agensi-agensi terlibat kini sedang menjalankan rondaan secara berterusan selama 60 hari dalam operasi tersebut.
“Jabatan telah mengenal pasti sembilan kawasan utama yang sering menjadi lokasi aktiviti pertanian haram di dalam hutan simpan ini.
“Kami menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran hutan simpan supaya tidak memindahkan hasil hutan atau menjalankan sebarang aktiviti tanpa kebenaran, bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.
Menurut beliau, unit penguat kuasa pejabat hutan daerah sentiasa menjalankan rondaan di kawasan panas di seluruh hutan simpan negeri ini.
“Namun, perlu diingat bahawa sebarang aktiviti dalam kawasan hutan simpan memerlukan permit atau kebenaran rasmi daripada jabatan,” katanya.
Zainuddin turut memaklumkan bahawa papan tanda amaran telah dipasang bagi memberi peringatan kepada orang ramai berhubung larangan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.
“Semua pihak perlu akur dengan peraturan ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya lagi.