Kontraktor bantah cadangan kurangkan bayaran perkhidmatan

Iklan
Mohd Azam menyerahkan memorandum bantahan mengenai cadangan mengurangkan skop kerja dan bayaran perkhidmatan kepada Ahmad Zabri di pekarangan Menara MBSP, pada Khamis.

BUKIT MERTAJAM – Seramai 26 kontraktor pembersihan am menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyemak semula cadangan untuk mengurangkan skop kerja dan kadar bayaran perkhidmatan sebanyak 30 hingga 71 peratus kepada mereka.

Perkara itu dimaklumkan kepada mereka dalam satu taklimat yang diadakan oleh pihak MBSP pada Selasa lalu berhubung pelaksanaan kerja pembersihan am jalan di seluruh Seberang Perai.

Iklan
Iklan

Wakil kontraktor, Mohd Azam Azmi berkata, langkah tersebut akan memberi implikasi besar kepada kelangsungan operasi syarikat, selain mengancam nasib lebih 1,500 pekerja yang bergantung kepada projek-projek pembersihan di bawah MBSP.

Menurutnya, cadangan itu juga melanggar terma kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini kerana harga dan skop kerja kontrak telah dipersetujui bersama serta sah di sisi undang-undang.

Iklan

“Bayaran yang dicadangkan tidak mencukupi untuk menampung kos operasi, bahan, penyelenggaraan aset dan tenaga kerja sekiranya kadar semasa dikurangkan secara drastik.

“Ia juga akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kerana skop kerja tidak setimpal dengan bayaran yang diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Menara MBSP di sini pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Mohd Azam bersama beberapa kontraktor lain menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Ahmad Zabri Mohamad Sarajudin, berhubung cadangan tersebut.

Difahamkan, terdapat kira-kira 1,500 pekerja di bawah kontraktor yang dilantik bagi pelbagai tugas pembersihan melibatkan hampir 30 zon di daerah Seberang Perai.

Mohd Azam berkata, pihaknya turut menuntut campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengambil tindakan menarik balik sebarang cadangan pengurangan skop dan bayaran.

Katanya, perbincangan rasmi dengan semua pihak kontraktor pembersihan perlu diadakan sekiranya terdapat sebarang keperluan semakan semula, demi memastikan sebarang perubahan dilakukan secara adil, sah dan dipersetujui bersama.

“Kami difahamkan pengurangan skop kerja dan kadar bayaran baharu didakwa bakal dilaksanakan pada Ogos, jadi kami menuntut tindakan segera supaya hubungan profesional ini terus dijaga dengan semangat kerjasama dan saling menghormati kontrak sedia ada.

“Pihak kami tidak teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perundangan dalam mempertahankan hak dan kepentingan Kontraktor Pembersihan MBSP,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zabri berkata, pihaknya akan menangguhkan pelaksanaan dan perbincangan akan dilakukan semula antara kedua-dua pihak.