SHAH ALAM – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan rasa syukur dan penghargaan apabila hampir 95 peratus perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibangunkan sepanjang beliau memegang jawatan itu, dikekalkan dalam dokumen akhir yang dibentangkan kerajaan pada Khamis.
Menurutnya, walaupun belum meneliti sepenuhnya setiap muka surat dalam dokumen RMK13, beliau berpuas hati selepas membaca ringkasan eksekutif yang menunjukkan majoriti kandungan asal diteruskan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya gembira kerana hampir 95 peratus daripada yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13.
“Semua reformasi besar melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi serta agenda baharu seperti menangani isu negara menua dan pembangunan sektor ketiga...Semuanya dikekalkan,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Rafizi turut menyentuh pelbagai inisiatif utama seperti Peralihan Tenaga Nasional (NETR), KL20, Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JSSEZ), 'Made by Malaysia', serta pendekatan menjadikan Malaysia sebagai kuasa pengguna (consumption powerhouse) yang turut dimuatkan dalam dokumen berkenaan.
Beliau menambah, antara dasar yang pernah mendapat tentangan termasuk pelaksanaan Akta Menangani Kerenah Birokrasi (ILTIZAM) dan cadangan penggubalan akta mengharamkan amalan ‘Ali Baba’ turut dikekalkan.
“Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi, daripada Ketua Setiausaha, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, pasukan RMK13 sehinggalah kakitangan sokongan, yang bertungkus lumus menyediakan dokumen ini selama 20 bulan,” ujarnya.
Menurut Rafizi, khabar angin berhubung rombakan di saat akhir hampir menggugat usaha penyediaan dokumen RMK13.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana perkara itu hanyalah reaksi politik semata-mata.
“Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja. Ini bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik,” katanya.
Rafizi memaklumkan akan turut membahaskan kandungan RMK13 di Parlimen pada Isnin atau Selasa depan, selain mengupasnya dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama pakar ekonomi, Dr Muhammad Khalid pada 8 Ogos ini.
“Saya juga akan mengupas sektor demi sektor sepanjang Ogos ini agar rakyat memahami dasar-dasar utama yang dirancang demi masa depan negara,” katanya.