KAMPAR - Polis telah mengeluarkan saman berjumlah RM300 terhadap pemandu lori yang dikesan menghalang jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kesalahan itu dikesan menerusi video tular di aplikasi TikTok.
"Insiden itu melibatkan jentera agensi berkenaan dalam perjalanan bagi tugasan kecemasan dengan memasang siren kecemasan sebelum dihalang seketika sebuah lori jenis kabin.
"Dalam rakaman tersebut, jentera bomba dilihat berusaha untuk memotong tetapi lori tersebut seolah-olah tidak memberi laluan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut Mohamad Nazri, susulan video tular itu, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.
"Pemandu berkenaan memaklumkan bahawa dia tidak menyedari kehadiran jentera itu disebabkan bunyi enjin yang kuat.
"Keadaan tingkap yang tutup sepenuhnya menyukarkan dia untuk mendengar bunyi siren," katanya.
Tambah beliau, polis telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 9(2) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal memberi laluan kepada kenderaan bomba.