BAYAN LEPAS – Seramai 13 individu yang terperangkap dalam sebuah lif di sebuah pangsapuri di Mutiara Perdana di sini berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lif terhenti di tingkat 15 di Pangsapuri Akasia, Lengkok Kelicap pada jam 5.14 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi pada jam 5.26 petang namun operasi mengambil sedikit masa berikutan kejadian berlaku di tingkat paling atas bangunan.
“Anggota terpaksa menaiki tangga ke tingkat 15 kerana satu lagi lif di bangunan berkenaan juga mengalami kerosakan.
“Komander operasi kemudian melakukan penilaian awal dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas termasuk kunci lif. Pintu lif berjaya dibuka dalam tempoh dua minit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.45 petang dalam keadaan selamat.
"Mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan lima perempuan.
"Operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT tamat sepenuhnya pada jam 5.52 petang sebelum lokasi diserahkan kepada pihak pengurusan bangunan untuk tindakan lanjut," ujarnya.