Salur maklumat kegiatan tuba ikan – Exco

Iklan
Video tular di media sosial memaparkan ikan mati terapung di Sungai Jeram, dipercayai akibat daripada kegiatan menuba.

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan menuba ikan yang berlaku di kawasan sungai di negeri ini bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut memusnahkan ekosistem dan sumber perikanan air tawar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegiatan tersebut dikesan berlaku berulang kali ketika musim udang galah di beberapa lokasi termasuk Sungai Nerus.

"Apabila tiba musim udang galah, aktiviti menuba kembali berlaku. Kita akui sukar untuk mengenal pasti pelaku sebenar, namun kita harap penduduk dapat menyalurkan maklumat dan peka dengan situasi ini," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat negeri di sini pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah melepaskan antara 800,000 hingga sejuta anak ikan ke sungai bagi memperkayakan sumber perikanan air tawar, namun usaha itu akan sia-sia jika kegiatan menuba terus berleluasa.

"Menuba ikan bukan sahaja merosakkan sumber, tetapi turut menyebabkan kepupusan spesies dan mengganggu rantaian makanan dalam sungai.

Iklan

"Ia juga menjejaskan hasil nelayan yang bergantung hidup kepada sumber ini," jelasnya.

Tambah beliau, aktiviti menuba ikan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 yang melarang penggunaan bahan seperti racun, bom ikan, arus elektrik dan renjatan sebagai kaedah menangkap ikan.

Pada Isnin, tular video di media sosial memaparkan ikan mati terapung di Sungai Jeram, dipercayai akibat daripada kegiatan menuba.

Video berkenaan turut dikongsi oleh Dr Azman di platform rasmi miliknya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya perbuatan tersebut.