KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan melindungi taikun minyak Indonesia, Riza Chalid daripada sebarang siasatan atau pendakwaan berkaitan kes rasuah.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, isu melibatkan Riza adalah perkara undang-undang dan pendirian kerajaan jelas bahawa tiada perlindungan akan diberikan kepada individu yang berdepan pertuduhan jenayah.
“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa isu melibatkan Riza adalah perkara undang-undang dan kita tidak akan memberi perlindungan kepadanya.
“Biarlah undang-undang berjalan seperti sepatutnya. Itu adalah komitmen Perdana Menteri,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mohamad turut menjelaskan bahawa isu berkenaan tidak memberi sebarang kesan kepada perbincangan antara Malaysia dan Indonesia yang sedang berlangsung berkaitan pertikaian sempadan kawasan Ambalat di Laut Sulawesi.
“Isu yang kononnya menjejaskan rundingan di Laut Sulawesi tidak timbul,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang bertanyakan sama ada isu Riza akan mengganggu rundingan sempadan dengan Indonesia.
Tambah Mohamad, Malaysia tidak akan berkompromi dalam urusan membabitkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Tiada perlindungan akan diberikan kepada mereka yang bersalah,” tegas beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu lawatan rasminya di Indonesia, memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan campur tangan dalam kes undang-undang membabitkan Riza, yang dikaitkan dengan rasuah berkaitan import bahan api.
Pada 16 Julai lalu, media Indonesia melaporkan Pemangku Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Yuldi Yusman menyatakan bahawa Riza dipercayai telah berada di Malaysia sejak 6 Februari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta.
Riza telah dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah yang melibatkan syarikat minyak dan gas milik negara Indonesia, Pertamina.