Warden asrama dipenjara enam tahun, liwat dan cabul tujuh pelajar lelaki

Iklan
Warden asrama pusat pengajian al-Quran dihukum penjara enam tahun dan empat sebatan atas atas 12 pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar lelaki. Gambar hiasan

SEREMBAN - Warden asrama pusat pengajian al-Quran dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 12 pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar lelaki.

Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, yang juga guru di pusat pengajian terbabit selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Beliau turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara yang bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Mei lalu.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak yang ketika kejadian berusia sembilan hingga 12 tahun.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Mengikut enam lagi pertuduhan, tertuduh telah didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun.

Iklan

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol, dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.

Peguam, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dalam rayuannya memaklumkan, anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu yang uzur dan memohon hukuman berbentuk penjara yang minimum.

Timbalan Pendakwa Raya,Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Menurutnya, tertuduh yang diberi amanah sebagai guru dan warden sepatutnya melindungi pelajarnya, namun mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah yang jijik.