Sabah miliki segala prasyarat sebagai hab perikanan laut dalam - Hajiji

Iklan
Hajiji (tengah) selepas menyaksikan majlis MoU dan MoA antara DBKK bersama dua syarikat di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Sabah memiliki semua prasyarat strategik untuk menjadi hab perikanan laut dalam terunggul di rantau ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kelebihan dari segi lokasi geografi, sumber asli, infrastruktur serta sokongan dasar menjadikan Sabah bersedia untuk muncul sebagai pusat pendaratan, pemprosesan dan pengeksportan hasil laut dalam bertaraf antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Kita berada di laluan migrasi tuna antarabangsa, mempunyai pelabuhan semula jadi yang terlindung, dan berdekatan dengan negara-negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea.

“Kita memiliki segala-galanya untuk menjadikan Sabah sebagai hab perikanan laut dalam yang mampan,” katanya semasa menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan syarikat pelabur di sini, pada Rabu.

Iklan

Melalui MoA berkenaan, Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) akan melabur sebanyak RM360 juta bagi membina sebuah Pelabuhan Tuna bertaraf Kesatuan Eropah (EU) di Kota Kinabalu yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Berpotensi Jana RM1.8 Bilion Setahun

Iklan

Hajiji berkata, pelabuhan tersebut bakal memenuhi standard antarabangsa seperti HACCP, sistem kebolehjejakan, pemantauan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah (IUU) serta keselamatan makanan, sekali gus membuka akses ke pasaran eksport premium.

"Pelabuhan ini berpotensi menjadi pusat pendaratan sah kepada 1,000 kapal tuna setahun yang membawa purata 50 tan tangkapan setiap satu, menjadikan Sabah mampu mendaratkan sehingga 50,000 tan tuna setahun dengan anggaran nilai ekonomi RM1.8 bilion," katanya.

Projek itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai rantaian industri seperti pembekalan ais, bunkering, makanan dan minuman (F&B), dan perkhidmatan teknikal.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pembangunan industri perikanan laut dalam ini tidak akan mengetepikan komuniti nelayan tempatan, malah akan melibatkan mereka dalam sektor hiliran bernilai tambah menerusi pendekatan inklusif.

Kompleks Biogas di Tapak Pelupusan

Dalam majlis sama, DBKK turut memeterai MoU dengan Petco Trading Labuan Company Ltd untuk membangunkan kompleks tenaga biogas di tapak pelupusan sampah Kayu Madang.

“Gas metana daripada sisa pepejal akan ditukar kepada tenaga elektrik hijau sebanyak 2 Megawatt yang akan dimanfaatkan oleh sektor perkilangan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP),” jelasnya.

Tambah beliau, inisiatif ini mencerminkan pendekatan ekonomi pekeliling, di mana sisa daripada satu sektor dimanfaatkan sebagai tenaga kepada sektor lain.

Selaras Agenda Ekonomi Biru Sabah

Hajiji menegaskan bahawa kedua-dua projek ini selaras dengan agenda Ekonomi Biru Sabah yang mengutamakan pembangunan mampan, pemuliharaan alam sekitar serta penjanaan tenaga bersih.

“Kejayaan menarik pelaburan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Sabah. Sinergi antara kerajaan negeri, DBKK dan sektor swasta amat penting dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.