KUALA LANGAT - Sampah elektronik (e-waste) melibatkan timah, tembaga selain kelongsong peluru antara barangan bernilai RM1.08 juta yang dilupuskan polis pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, pelupusan ini melibatkan 47 kertas siasatan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mulai tahun 2016 hingga 2025 merangkumi pelbagai jenis kategori barang kes.
Menurutnya, empat kertas siasatan melibatkan kes kontraban iaitu minuman keras dan rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM425,000.
"Enam kertas siasatan pula melibatkan rampasan 239 unit mesin bitcoin bernilai RM167,000, manakala kes perjudian pula sebanyak 26 kertas siasatan melibatkan rampasan 84 unit set komputer dan telefon bimbit bernilai RM84,000.
"Seterusnya satu kertas siasatan melibatkan rampasan 69 guni jumbo timah dan tembaga, empat tong sisa timah dan empat kotak kelongsong peluru dengan nilai anggaran rampasan RM412,225," katanya semasa berucap di Majlis Pelupusan Barang Kes IPD Kuala Langat di sini pada Rabu.
Turut hadir Majistret Mahkamah Telok Datok, Maslinda Selamat.
Tambah Mohd Sufian, jumlah anggaran rampasan keseluruhan ini ialah sebanyak RM1.08 juta.
Jelasnya, ini merupakan jumlah terbesar pelupusan barang kes IPD Kuala Langat.
"Pelupusan ini melibatkan kes yang telah selesai dan jatuh hukum oleh mahkamah dan mengikut peruntukan dibawah Seksyen 407A Kanun Tatacara Jenayah.
"Majlis pelupusan ini bukan sahaja mencerminkan kepatuhan IPD Kuala Langat terhadap perundangan sedia ada, malah membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga amanah dan kepercayaan masyarakat serta menjunjung nilai profesionalisme dalam setiap tindakan yang diambil," ujarnya.
Pada 15 Februari lalu, sebuah kilang memproses bahan e-waste yang beroperasi secara haram dekat Telok Panglima Garang, Kuala Langat diserbu polis dan menemukan kira-kira 50 tan anak peluru, kelongsong serta peluru hidup.