Bekas pengurus kemasukan pelajar universiti didenda RM35,000 palsukan dokumen

Iklan
Bekas Pengurus Bahagian Kemasukan Pelajar, Pemasaran dan Rekod di Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas kesalahan memalsukan dokumen bagi tujuan program pengambilan pelajar, enam tahun lalu.

IPOH - Bekas Pengurus Bahagian Kemasukan Pelajar, Pemasaran dan Rekod di Universiti Teknologi Petronas (UTP) didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen bagi tujuan program pengambilan pelajar, enam tahun lalu.

Mohd Khalid Kaab, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khalid didakwa secara tidak jujur telah menggunakan dokumen perjanjian sebagai tulen iaitu Student Recruitment Agreement antara Institute Of Technology Petronas Sdn Bhd dan Profedge Sdn Bhd bertarikh 1 Ogos 2019.

Iklan

Dokumen tersebut dikemukakan sebagai syarikat ejen untuk memberikan perkhidmatan mempromosikan program UTP dan merekrut pelajar dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan lokasi lain bagi program kemasukan pelajar ke UTP.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendaftar UTP Seri Iskandar dalam Daerah Perak Tengah pada Jun 2019.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali sementara tertuduh diwakili Peguam Mohamad Izwan Abd Rahman.

Mengikut fakta kes, siasatan SPRM mendapati tertuduh telah menggunakan dokumen perjanjian palsu tersebut bagi tujuan mendapatkan bayaran RM323,650.

Dokumen itu digunakan bagi menyokong enam invois pembayaran dari tahun 2019 hingga 2020 kepada syarikat berkenaan untuk perkhidmatan promosi dan pengambilan pelajar UTP, sedangkan perkhidmatan itu tidak pernah dilaksanakan dan pelajar yang disenaraikan tidak mendaftar melalui syarikat agen terbabit.

Hasil semakan dalaman UTP juga mendapati dokumen tersebut tidak pernah dirujuk kepada bahagian undang-undang, tidak mempunyai cop rasmi institusi dan tidak dimatikan setem.