GENTING GAZA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump cuba mempamerkan sisi empatinya apabila mengakui bahawa krisis kebuluran sedang melanda Genting Gaza.
Trump turut mencadangkan kepada sekutu kuatnya, Israel, agar memberikan lebih banyak akses kepada bantuan kemanusiaan, ketika komuniti antarabangsa kembali memberi perhatian terhadap situasi yang kian meruncing di wilayah itu.
Pendirian Washington dan Tel Aviv dilihat berubah secara tiba-tiba apabila Israel menarik balik sekatan terhadap penghantaran bekalan penting serta mengumumkan jeda kemanusiaan dan pewujudan koridor selamat untuk konvoi bantuan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut cuba menunjukkan 'keprihatinan' apabila menyifatkan situasi di Gaza sebagai"sukar", dan menyatakan bahawa Tel Aviv kononnya akan memastikan aliran bantuan ke enklaf berkenaan dapat diteruskan.
"Israel akan terus bekerjasama dengan agensi antarabangsa termasuk negara Eropah untuk menjayakan penghantaran sejumlah besar bekalan ke wilayah itu," ujarnya.
Kenyataan itu dilihat selari dengan arahan Trump, selepas Presiden ke-47 AS itu menegaskan bahawa Tel Aviv bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aliran bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.
"Kami akan menubuhkan pusat makanan tanpa pagar atau halangan untuk memudahkan akses kepada penduduk Gaza. Washington akan bekerjasama dengan negara lain bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin," kata Trump.
Sementara itu, data terbaharu menunjukkan 14 lagi kematian akibat kebuluran dan malnutrisi direkodkan di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 147 orang, termasuk 88 kanak-kanak. – Agensi