Dua pegawai imigresen ditahan SPRM Pulau Pinang

Iklan
Dua pegawai imigresen ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di LTAPP. - Gambar hiasan

[KEMAS KINI] GEORGE TOWN- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Isnin.

SPRM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, kedua-dua pegawai wanita berumur 45 dan 48 tahun berkenaan ditahan menerusi satu operasi khas selepas disyaki terlibat dalam kegiatan yang dikenali sebagai counter-setting – iaitu perbuatan membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa melalui proses tapisan dan pemeriksaan imigresen yang sepatutnya.

Iklan
Iklan

“Kegiatan ini melibatkan elemen salah guna kuasa oleh pegawai bertugas di lapangan terbang yang secara sengaja membenarkan warga asing masuk ke Malaysia tanpa melalui prosedur sah.

“Hasil maklumat risikan yang diterima, SPRM Pulau Pinang telah menahan dua individu bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009,” menurut kenyataan tersebut.

Iklan

Menurut SPRM, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jaringan serta modus operandi keseluruhan kumpulan yang terlibat.

SPRM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam sektor penguatkuasaan.

Iklan

“SPRM kekal komited dalam usaha membanteras rasuah serta memastikan integriti dan keselamatan negara terus terpelihara.

“Orang ramai juga diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti rasuah dalam sektor awam mahupun swasta,” katanya.