KOTA BHARU – Polis Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah susulan berhubung penganjuran perjumpaan santai golongan gay yang diserbu di sebuah banglo di Kemumin, bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbincangan itu bertujuan menyelaraskan tindakan serta memastikan semua pihak berautoriti berada pada landasan yang sama dalam menangani isu-isu menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Kami sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan akan berjumpa pula dengan pihak berkuasa agama, Jaheaik.
“Isu ini akan diselesaikan bersama,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah: Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi, di sini pada Selasa.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Yusoff turut memaklumkan bahawa pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Sebelum ini, polis telah menyerbu satu program yang dinamakan"Gathering Komuniti: Majlis Malam Mesra Komuniti dan Santai-Santai" yang dipercayai dianjurkan oleh komuniti gay menerusi jemputan dalam kumpulan WhatsApp.
Hasil risikan dan pemantauan Pasukan Task Force Polis Kelantan mendapati jemputan ke program tersebut tidak mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti, termasuk KKM atau badan bukan kerajaan berkaitan.
Pada hari kejadian, polis mula memantau lokasi sekitar jam 5 petang sebelum melakukan serbuan kira-kira jam 1 pagi bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan awam.
Seramai 20 lelaki ditahan di banglo berkenaan, termasuk 18 orang berasal dari Kelantan dan masing-masing seorang dari Perak dan Terengganu.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ratusan kondom, beberapa kotak ubat HIV serta tiga telefon bimbit yang mengandungi video lucah sesama jenis.
Seterusnya, pada 20 Julai lalu, tiga lelaki termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini dan didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000 selepas mengaku bersalah memiliki gambar serta video lucah jantina sejenis mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
KKM dalam satu kenyataan di platform X rasmi memaklumkan bahawa majlis tersebut merupakan program kesedaran HIV, namun tidak mengulas lanjut mengenai operasi serbuan yang dijalankan pihak polis.
Kenyataan itu mendorong Polis Kelantan untuk sekali lagi tampil memberi penjelasan, menegaskan bahawa tindakan serbuan dibuat atas dasar menjaga ketenteraman awam serta nilai moral masyarakat, tanpa sebarang niat diskriminasi.