Dituduh pukul pelajar perempuan: Anak bekas calon PRU trauma, takut keluar rumah

Iklan
Fatimah (tengah) bersama peguamnya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Bukit Jelutong pada Selasa.

SHAH ALAM - Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dari Terengganu kini mengalami trauma teruk termasuk takut untuk keluar rumah, kemurungan serta penurunan berat badan selepas menjadi mangsa buli siber dan fitnah yang disebarkan di media sosial.

Ibunya, Fatimah Lailati Omar, 52, berkata, tuduhan tidak berasas yang ditujukan kepada dirinya dan anak lelakinya itu mencetuskan gelombang kecaman, ugutan serta penghinaan terbuka dalam kalangan masyarakat, sehingga memberi kesan mendalam kepada emosi kanak-kanak berkenaan.

Iklan
Iklan

“Anak saya bukan sahaja dibuli di ruang maya, malah turut dilayan dengan pandangan sinis serta dipulaukan dalam kalangan masyarakat akibat tuduhan yang tidak berasas ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Bukit Jelutong, di sini pada Selasa.

Fatimah mendakwa, dua individu memainkan peranan utama dalam menyebarkan kenyataan berunsur fitnah serta maklumat peribadi mereka di platform media sosial.

Iklan

Jelasnya, laporan polis telah dibuat terhadap enam individu di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu pada 19 Julai lalu dan surat tuntutan telah dihantar melalui peguam kepada dua individu berkenaan pada 27 Julai.

Sebagai langkah penyelesaian, mereka diberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka melalui saluran media sosial yang sama.

Iklan

“Saya tidak akan mendedahkan sebarang bukti kepada umum kerana saya percaya kepada proses undang-undang dan sistem kehakiman. Segala bukti akan dikemukakan di mahkamah,” ujarnya yang sebelum ini pernah menjadi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Terengganu.

Menurut Fatimah, tindakan undang-undang yang diambil bertujuan memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab agar lebih berhati-hati dalam membuat tuduhan, khususnya yang melibatkan kanak-kanak bawah umur.

“Saya harap tindakan ini menjadi peringatan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencemarkan nama orang lain. Hormatilah proses siasatan dan mahkamah serta hak kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi,” tambahnya.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, seorang murid perempuan tahun enam dari sebuah sekolah rendah di Terengganu didakwa menjadi mangsa buli hingga mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital.

Mangsa dikatakan mengalami pendarahan selepas ditendang pada bahagian perut dalam kejadian 21 Mei lalu.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dilaporkan memaklumkan, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada salah faham antara murid lelaki dan perempuan yang membawa kepada pergaduhan.

JPNT turut memberi jaminan bahawa pihaknya komited memastikan isu berbangkit diselesaikan secara baik dan harmoni demi kesejahteraan murid, ibu bapa dan semua pihak terlibat.

Sebelum ini, hantaran bapa murid perempuan terbabit yang mendakwa anaknya menjadi mangsa pukul hingga dimasukkan ke hospital tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.