[VIDEO] Pembantu penguat kuasa JPJ tidak mengaku minta, terima suapan RM1,000

Iklan

SEREMBAN - Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000 pada November tahun lalu.

Tertuduh, Faizul Azizin Abdul Wahid, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Faizul yang bertugas di JPJ Negeri Sembilan didakwa cuba memperoleh wang tunai RM1,000 secara rasuah daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas sebuah kenderaan yang tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak lulus pemeriksaan Puspakom.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 273.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah Seremban pada 12 November 2024, kira-kira jam 2 petang.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,000 secara tidak langsung melalui beberapa transaksi akaun bank sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu sama atas kesalahan serupa.

Tertuduh (dua dari kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

Iklan

Perbuatan itu didakwa berlaku pada hari yang sama, antara jam 2.30 hingga 5 petang di hadapan Stesen KTM Senawang.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Che Muji Che Noh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM dijalankan.

Katanya, tertuduh menanggung nafkah tiga orang anak berusia 10, tujuh dan empat tahun yang kini di bawah jagaan bekas isteri selain menyara ibu bapa yang kurang sihat di kampung.

“Selain membayar nafkah RM600 sebulan, tertuduh juga kadang-kala perlu menghantar bapanya ke hospital. Pendapatan bersih selepas potongan pinjaman perumahan hanya sekitar RM2,000 sebulan.

“Kes ini juga masih belum terbukti bersalah. Mohon pertimbangan agar jaminan dikenakan secara munasabah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.