BALIK PULAU – Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas sembilan pertuduhan melakukan khianat dengan api membabitkan kejadian kebakaran di Bayan Lepas, Januari lalu.
Tertuduh, Nor Ahmad Murni Abdul Hamid, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa membakar langsir di sebuah kediaman milik individu lain menggunakan bahan api mudah terbakar sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada 24 Januari kira-kira jam 6.50 petang di sebuah rumah di Medan Bayan Residensi Tunas Sungai Ara, Bayan Lepas.
Selain itu, tertuduh turut berdepan lapan lagi pertuduhan melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan terhadap lima kereta dan tiga motosikal.
Semua perbuatan berkenaan didakwa berlaku pada 27 Januari antara jam 4.45 pagi hingga 5.15 pagi di kawasan parkir Tunas Residensi Kondominium, Bayan Lepas.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM92,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi sepanjang tempoh perbicaraan.
Pendakwaan turut memohon supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah, sekiranya ada.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh merupakan bapa tunggal yang menjaga tiga anak selepas kematian isterinya dan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut menetapkan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada.
Difahamkan, tertuduh telah membayar jumlah jaminan yang ditetapkan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sebanyak sembilan kenderaan musnah dalam kebakaran di sebuah kondominium di Bayan Lepas.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.50 pagi itu membabitkan sebanyak lima kereta dan empat motosikal.
Kenderaan yang terbabit ialah Perodua Bezza, Honda CR-V, Perodua Myvi, Toyota Corolla Cross dan Honda Civic selain empat motosikal.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu, namun kebakaran berkenaan menyebabkan kenderaan terlibat musnah sehingga 80 peratus.