Hafiz lumpuh nekad hafal semula 30 juzuk al-Quran selepas hilang ingatan akibat kemalangan

Iklan
Muhammad Faiz Hafizuddin cuba menghafal semula al-Quran.

PASIR PUTEH – Seorang hafiz bertekad menghafaz kembali keseluruhan 30 juzuk al-Quran selepas hilang ingatan akibat kemalangan jalan raya tragis lapan tahun lalu.

Kemalangan yang meragut nyawa lapan rakannya itu juga menyebabkan mangsa, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir kini lumpuh.

Iklan
Iklan

Lelaki berusia 25 tahun itu berkata, semua ayat al-Quran yang dihafal lenyap sebaik sedar daripada koma selama tiga bulan selepas terbabit dalam kemalangan pada 2 Jun 2017 itu.

“Saya dulu dah hafal semua 30 juzuk, tapi bila sedar dari koma, tau-tau dah jadi orang kurang upaya, lumpuh dan satu ayat Quran pun tak ingat.

Iklan

“Ibu bapa sendiri pun saya tak kenal masa tu, otak jadi kosong,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa lawatan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial yang diwakili Rusmawi Ab Sattar bagi menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan wang tunai di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang di sini pada Isnin.

Keadaan kenderaan yang membawa membawa Muhammad Faiz dan rakannya selepas terlibat dalam kemalangan di Kota Bharu lapan tahun lalu. - Foto: Bernama

Iklan

Dalam tragedi lalu, Muhammad Faiz Hafizuddin bersama 11 pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun, guru pengiring dan pemandu dalam perjalanan dari Maahad Tahfiz al-Hashimi, Kampung Tualang, Kuala Krai ke Kota Bharu untuk menghadiri program Tafsir al-Quran sempena Madinah Ramadan.

Kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai–Kota Bharu menyebabkan tujuh pelajar maut, Muhammad Faiz Hafizuddin cedera parah manakala selebihnya termasuk lima lagi pelajar cedera.

Dia yang berusia 16 tahun ketika itu mengalami pendarahan dalam kepala, tulang belakang hancur selain hilang keupayaan bercakap selama hampir tiga tahun.

Kini, Muhammad Faiz Hafizuddin hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak lagi dapat menguruskan diri tambahan pula terdapat besi dan 18 skru dimasukkan ke dalam tulang belakangnya.

Malah, dia juga masih menjalani rawatan susulan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

Muhammad Faiz Hafizuddin menerima katil pesakit sumbangan Parlimen Pasir Puteh dan tinggal bersama keluarga di rumah teres yang sempit.

Bagaimanapun katanya, sebuah bilik dilengkapi tandas yang sesuai dan sebuah katil pesakit boleh laras secara automatik diperlukan bagi memudahkan pergerakannya

“Tak ada ruang dan saya tidur di ruang tamu sahaja. Tak ada juga bilik dan tandas yang sesuai boleh dimasuki bersama kerusi roda.

“Kalau ada katil automatik yang boleh laras, senang sikit nak bangun, alih badan atau solat,” katanya yang turut memakai lampin pakai buang.

Mohd Izahir (dua dari kanan) menerima sumbangan bagi pihak Muhammad Faiz Hafizuddin yang disampaikan Rusmawi (kanan) di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang, Pasir Puteh pada Isnin.

Muhammad Faiz Hafizuddin kini dijaga sepenuh masa oleh bapanya, pesara tentera, Mohd Izahir Kassim, 57, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 53, melalui bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pernah menerima sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Walau sudah lapan tahun berlalu, Muhammad Faiz Hafizuddin masih tidak mampu menahan rasa pilu setiap kali terkenang rakan-rakan yang sudah tiada.

“Ramai kawan-kawan saya dalam van tu dah tak ada. Ada yang sekampung, biasa main futsal sama-sama dan ada juga adik angkat saya.

“Saya reda walaupun lumpuh dan anggap ALLAH panjangkan umur saya untuk sambung balik Quran yang pernah saya hafal dulu. Kini baru hafal surah al-Baqarah dan mahu sama-sama bawa ibu bapa saya ke syurga,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir bernombor 0301541100060745.