Belia 4B Terengganu desak kaji semula APBN, hidupkan semula PJKN

Iklan
Haffiz

KUALA TERENGGANU – Gerakan Belia 4B Negeri Terengganu menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama kerajaan negeri mengkaji semula pelaksanaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) di semua peringkat, selain menghidupkan semula Program Jati Diri Kesukarelawanan Nasional (PJKN) bagi memupuk nilai patriotisme dan ketahanan diri dalam kalangan generasi muda.

Pengerusinya, Haffiz Salleh berkata, Sidang Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) Terengganu 2025 telah mengambil ketetapan agar penambahbaikan menyeluruh dilakukan terhadap struktur, proses dan pelaksanaan APBN bagi memastikan penyertaan yang lebih inklusif serta berpaksikan kepada penglibatan di peringkat akar umbi.

Iklan
Iklan

“Sudah sampai masanya kita melihat semula mekanisme APBN, termasuk membuka penyertaan kepada belia berdaftar melalui Pejabat Belia Daerah, dan pelaksanaan pertandingan bermula dari peringkat daerah.

“Pemenang di peringkat daerah akan mewakili negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan. Proses pencalonan juga perlu dibuat secara formal melalui pertubuhan belia yang sah, bukan secara terbuka,” katanya ketika membentangkan usul pada sidang MPBN 2025 di sini, pada Isnin.

Iklan

Jelasnya, APBN juga dicadangkan memperkenalkan kategori baharu iaitu Persatuan Belia Daerah dan Negeri, selain memastikan penyertaan bagi kategori individu benar-benar memberi ruang kepada pemimpin belia akar umbi dan bukan hanya tertumpu kepada pemegang jawatan di peringkat kebangsaan.

“Ramai pemimpin belia berwibawa lahir daripada anugerah ini seperti Presiden, Setiausaha Agung dan kepimpinan Majlis Belia Negeri Terengganu. Maka, pelaksanaannya perlu mantap dan lebih praktikal agar terus relevan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Haffiz turut mencadangkan agar PJKN diperkenalkan semula di setiap negeri dan daerah sebagai pelengkap kepada latihan patriotisme dan jati diri dalam kalangan belia.

“Program ini boleh menjadi kesinambungan kepada pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dengan tempoh pelaksanaan antara lima hingga 10 hari, memberi tumpuan kepada aspek kesukarelawanan dan nilai kenegaraan.

“Kita mahu belia kita hidup berpaksi, tidak mudah dipengaruhi, dan memiliki ketahanan diri dalam menghadapi cabaran sosial masa kini,” tegas beliau.

Mengulas kebimbangan terhadap gejala sosial dalam kalangan belia, beliau turut merujuk statistik terkini yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menunjukkan seramai 85,575 belia berusia 19 hingga 39 tahun direkodkan sebagai penagih dadah sepanjang tempoh 2019 hingga 2025, iaitu mewakili 73.6 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih.

“Selain isu dadah, belia juga berdepan pelbagai cabaran lain seperti lumba haram, buang bayi, jenayah jalanan dan gengsterisme yang boleh merosakkan masa depan mereka.

“Sebagaimana pepatah, ‘jika kamu mahu lihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemudanya hari ini’. Maka kita bertanggungjawab memperkukuhkan nilai jati diri dalam kalangan belia,” ujarnya.

Haffiz turut menyeru agar seluruh pemegang taruh dalam pembangunan belia menyahut cadangan dan pelaksanaan semula PJKN serta penambahbaikan APBN agar kesinambungan kepimpinan dan kecemerlangan belia dapat diteruskan.

“Majulah negeri kita dengan acuan kita, maka dunia akan digenggam tak terlepas. Saya percaya, jika kita laksanakan langkah-langkah ini, belia Terengganu akan terus megah pada masa hadapan,” katanya.