Abu Hassan jana RM13,000 sebulan tanam kelapa SGG, jual sendiri

Iklan
Abu Hassan melihat kelapa SGG yang ditanam di ladang miliknya. (Kanan: Kelapa varieti SGG yang memberikan pendapatan lumayan buat Abu Hassan.)

BENTONG – Kesukaran mendapatkan bekalan mendorong Abu Hassan Abdullah, 55, dari Kampung Lebu di sini mengusahakan ladang kelapa dengan 500 pokok varieti Sungai Gulang-Gulang (SGG) sejak tahun 2018.

Pilihan yang dibuat itu ternyata tepat dan berbaloi apabila beliau kini meraih pendapatan lumayan sehingga RM13,000 sebulan.

Iklan
Iklan

“Dulu saya jual kelapa orang, sekarang saya jual sendiri. Saya bersyukur kerana pilihan yang dibuat sangat berbaloi.

“Malah saya turut dinasihatkan supaya menanam kelapa berbanding kelapa sawit kerana lebih mudah diuruskan dan harganya lebih stabil.

Iklan

“Mula-mula dulu memang agak sukar. Harga benih mahal, pagar pun perlu dibuat. Tapi Alhamdulillah, selepas tiga tahun, kelapa saya mula berbuah,” katanya.

Abu Hassan bersama isterinya, Suhaida Mat Yusof,49 dan hasil produk kelapa yang diusahakan sendiri.

Iklan

Abu Hassan yang juga ahli Persatuan Usahawan Kelapa Malaysia, memilih varieti SGG yang berasal dari Selangor kerana ia terkenal dengan saiz buah yang besar, isi yang tebal dan rasa airnya yang manis.

“SGG ini buahnya besar, bulat, dan isinya berlemak jika dibuat santan. Airnya pun sedap untuk dijadikan coconut shake,” jelasnya.

Menariknya, Abu Hassan turut berkongsi teknik istimewa yang digunakannya iaitu menanam pokok pandan bersama kelapa bagi ‘mengahwinkan’ rasa dan aroma.

“Kalau tanam pokok pandan dalam kebun SGG, buahnya akan jadi wangi seperti kelapa pandan, tapi saiznya tetap besar seperti SGG. Itu rahsianya,” ujarnya lagi.

Dengan 500 pokok kelapa ditanam di tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, beliau kini tidak lagi bergantung kepada pemborong untuk mendapatkan bekalan.

“Pengalaman sukar mendapatkan bekalan khususnya ketika musim perayaan banyak mengajar saya. Potensi buah ini sangat besar dan kita juga tidak perlu terlalu bergantung kepada kelapa import.

“Kini saya jual sendiri di kedai di kampung ini dengan produk seperti coconut shake, air kelapa asli dan jeli kelapa... semuanya saya hasilkan sendiri,” katanya yang mampu menjual ribuan kelapa segar setiap minggu.

Beliau turut menjual kelapa tua kepada peniaga di pasar-pasar untuk dijadikan santan dengan anggaran penghantaran sebanyak 500 biji seminggu.

Selain berniaga sendiri, Abu Hassan turut aktif membantu rakan-rakan usahawan lain.

Menurutnya, sesiapa yang berminat menanam kelapa boleh menghubunginya untuk mendapatkan benih dan panduan.

“Benih orang lain jual RM20, saya cuma bagi RM10 supaya mereka boleh mula tanam kelapa. Kalau satu hari saya tak cukup bekalan, saya boleh ambil dari mereka pula. Kita bantu sesama kita,” ujarnya yang menghargai ilmu dan sokongan daripada persatuan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi petua penting untuk kesuburan pokok kelapa iaitu penggunaan garam kasar.

“Setiap tiga bulan, wajib bagi garam kasar. Baling atas pucuk. Bukan sahaja subur, kumbang pun lari, selain itu kita gunakan racun dengan berhati-hati,” tambahnya lagi.

Kini, dengan hanya dua orang pekerja dan sistem jualan sendiri, Abu Hassan mampu menjana pendapatan yang stabil hasil jualan kelapa dan produk berasaskan kelapa.

“Kelapa ini banyak potensi. Kita usaha sungguh-sungguh, Insya-ALLAH boleh berjaya,” katanya penuh semangat.