SHAH ALAM - Permainan bertemakan ketahanan fizikal dan mental, Sinar Squid Game berjaya mencuri perhatian apabila setiap peserta perlu mengharungi rintangan yang mencabar daya saing, kecergasan dan semangat tinggi.
Pemenang acara permainan Dalgona dalam Sinar Squid Game, Murid Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Jaya, Haifa Rania Mohd Faisal meluahkan rasa teruja serta debaran apabila berjaya menamatkan cabaran paling mendebarkan dalam pertandingan itu.
Menurutnya, pengalaman melalui cabaran yang memerlukan ketelitian dan kesabaran itu bukan sahaja menguji ketahanan mental malah memberikan pengalaman baharu yang menyeronokkan.
"Saya rasa teruja dan berdebar untuk menghabiskan cabaran ini. Ia pengalaman yang menyeronokkan dan sesuatu yang baharu bagi saya.
"Semasa cabaran berlangsung, saya dapat belajar dengan melihat cara rakan-rakan lain melakukannya. Dari situ, saya dapat berfikir dan mencari cara terbaik untuk menamatkan cabaran dengan berjaya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sinar Squid Game menawarkan tiga permainan iaitu Ddakji, Dalgona dan lompat getah istimewa untuk pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2015.
Dalam pada itu, pemenang bagi permainan lompat getah, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam, Muhammad Faiq Ammar berkata, dia berasa gembira dan teruja apabila berjaya menamatkan cabaran fizikal itu sekali gus muncul juara.
Menurutnya, pengalaman menyertai pertandingan tersebut memberi kepuasan luar biasa kerana selain berpeluang meraih kemenangan, ia turut menguji ketahanan fizikal dan semangat juang.
"Saya sangat teruja untuk menghabiskan cabaran ini. Seronok tidak terhingga kerana berpeluang masuk dan menang.
"Cabaran seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah melatih fizikal kita untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program, Riswandi Razak berkata, acara yang disertai 30 peserta itu bukan sekadar hiburan, tetapi turut menjadi platform untuk menguji kekuatan mental dan fizikal peserta dalam suasana kompetitif yang menghiburkan.
Ujarnya, objektif utama program tersebut adalah untuk memupuk daya tahan, keberanian serta keupayaan peserta berdepan tekanan dalam situasi sukar.
"Setiap permainan mempunyai tiga pemenang mendapat baucar RM50 dan yang tidak berjaya turut menerima baucar RM10 sebagai sagu hati.
"Sambutan menggalakkan. Insya-ALLAH, tahun hadapan kita akan menyediakan permainan yang lebih meriah dengan kawasan yang lebih besar," katanya.