Anthony teruskan tugas rasmi di China sebelum urus proses letak jawatan

Iklan

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan meneruskan program rasmi beliau di China seperti dijadualkan sebelum pulang ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan Anthony akan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan APEC ke-12 di Beijing.

Iklan
Iklan

Program berkenaan turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU tersebut termasuk kerjasama pengangkutan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China yang merangkumi sektor darat, rel, maritim, penerbangan dan logistik.

Iklan

Satu lagi ialah MoU kerjasama keselamatan penerbangan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China (CAAC) yang merangkumi bidang seperti kelayakan udara, pensijilan organisasi penerbangan, pelesenan personel, pengawasan operasi serta pengiktirafan bersama dapatan dan sijil pematuhan.

"MOT akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur," katanya.

Iklan

Sabtu lalu, Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selama kira-kira tiga jam pada 19 September.

Anthony berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tetapi sebagai parti, DAP mempunyai pendirian sendiri dan perkara itu sukar diterima.