PUTRAJAYA – Proses penambahbaikan syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta urutan di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan secara telus tanpa memberi ruang kepada rasuah atau bayaran tidak sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, syarat pelesenan juga perlu lebih mudah difahami pengusaha, namun standard dan integriti mesti terus dijaga.
"Proses mesti bersih dan tidak boleh ada ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Isnin,
Terdahulu Hannah mengadakan perbincangan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berhubung penambahbaikan syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta urutan di Kuala Lumpur.
Hannah berkata, beliau mencadangkan penyelarasan seterusnya dipengerusikan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Keahlian penyelarasan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban serta agensi berkaitan.
Menurut Hannah, penglibatan pelbagai agensi itu bagi memastikan isu pelesenan, penguatkuasaan, tenaga kerja dan keperluan industri dapat dilihat secara menyeluruh.
Beliau berkata, kepakaran ITC turut penting memandangkan Kuala Lumpur menerima pelancong dari seluruh dunia, khususnya pelancong Muslim.
“Sebab itu kepakaran ITC penting supaya industri ini turut mengambil kira keperluan pasaran pelancongan mesra Muslim,” jelas beliau.
Tambah Hannah, matlamatnya adalah untuk memudahkan perniagaan yang sah, memastikan agensi kerajaan bergerak bersama menjaga imej Kuala Lumpur dan Malaysia.