Himpunan Turun Anwar: Pekerja bersihkan sampah sehingga jam 3.30 pagi

Iklan
Kor Ming berucap ketika merasmikan Taman Rekreasi Madani, Taman Canning dan Majlis Menandatangani MoU Pelancaran Program CSR MBI dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad di Ipoh pada Ahad.

IPOH – Pekerja pembersihan terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3.30 pagi bagi mengutip 20 tan sampah yang ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar pada Sabtu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, mereka bertungkus-lumus membersihkan sisa kotoran berikutan kawasan terlibat merupakan lokasi tumpuan pelancong di ibu kota.

Iklan
Iklan

“Berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), sebanyak 20,000 kilogram sampah telah dibuang selepas ditinggalkan mereka.

“Saya terpaksa mengerahkan seluruh pasukan Alam Flora bersama SWCorp untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera, dan mereka bekerja larut malam hingga jam 3.30 pagi tadi kerana kebanyakannya melibatkan kawasan pelancongan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taman Rekreasi Madani, Taman Canning serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Program CSR Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad di sini, pada Ahad.

Kor Ming menandatangani plak simbolik merasmikan Taman Rekreasi Madani di Taman Canning pada Ahad.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah dan Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian.

Iklan

Kor Ming turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang disifatkan tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan lokasi himpunan yang dihadiri lebih 18,000 peserta.

“Soal kebersihan memang tiada kompromi kerana kita tidak mahu imej negara terjejas. Saya kesal terhadap sikap pengotor pembangkang yang mengotorkan kawasan ibu kota.

“Walaupun berjaya dibersihkan, sebenarnya ia adalah tanggungjawab penganjur untuk memastikan perhimpunan dijalankan dengan penuh tertib termasuk menjaga kebersihan di tempat awam. Ini soal prinsip yang wajib didukung bersama,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP turut mempersoalkan objektif sebenar perhimpunan itu diadakan dan menyifatkannya bukanlah demi kepentingan rakyat.

“Perhimpunan itu adalah untuk menyelamatkan kluster mahkamah dalam Perikatan Nasional (PN).

“Semua orang tahu kes melibatkan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta anak kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Tambahnya, walaupun berbeza pandangan, rakyat perlu menjaga keselamatan dan kestabilan negara demi mencapai kemakmuran.