SHAH ALAM - Kehadiran bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal memeriahkan hari kedua program Karnival Siang Malam Karangkraf yang berlangsung pada Sabtu.
Lebih menarik lagi, pengunjung diberi peluang untuk timbang bola bersama bekas pemain kebangsaan tersebut sempena program Game On Bersama Datuk K Rajagobal yang berlangsung di Pentas Mini Buku & Kopi jam 11 pagi.
Mereka yang memperoleh markah tertinggi dalam aktiviti tersebut turut mendapat hadiah yang disampaikan oleh Rajagobal.
Mengulas mengenai acara di bawah anjuran Buku Karangkraf itu, Rajagobal berkata, ia merupakan sebuah program menarik dan sesuai dihadiri oleh komuniti masyarakat terutama generasi muda.
Ujarnya, selain itu ramai pengunjung juga dapat meluangkan masa untuk membeli buku-buku yang dijual di bahagian Buku & Kopi.
“Saya lihat ini salah satu cara untuk kita beritahu masyarakat terutama generasi muda tentang kepentingan menambahkan ilmu pengetahuan dan nilai.
“Di Buku & Kopi, banyak buku dijual dengan pelbagai kandungan menarik. Ia salah satu inisiatif yang bagus dari Karangkraf.
“Saya harap ia tidak disia-siakan. Jadi sepanjang dua hari ini, orang ramai digalakkan datang untuk meneroka dan lihat apa yang ada di Karnival Siang Malam Karangkraf,” katanya kepada Sinar harian selepas program Game On Bersama Datuk K Rajagobal pada Sabtu.
Program di bawah anjuran Buku Karangkraf itu dimulakan dengan sesi perkongsian dan kisah inspirasi daripada Rajagobal pada jam 11 pagi.
Ia susulan terbitan buku beliau berjudul Inilah Saya – K Rajagobal yang telah dilancarkan pada Mei lalu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 dan kini boleh didapati di Karangkraf serta platform jualan terpilih.
Rajagobal turut berkongsi pengalaman luar jangka yang dihadapinya sepanjang menjadi jurulatih selama lebih 30 tahun termasuk kenangan sewaktu mengendalikan pasukan kebangsaan pada 2009.
“Ada waktu di mana saya meletakkan keyakinan tetapi saya tidak jangka (dapat dicapai oleh) pemain muda.
“Apabila kita menang sukan SEA 2009, seterusnya kita menjadi juara Piala AFF Suzuki 2010. Itulah antara waktu yang mengejutkan saya,” ujarnya.