KUANTAN - Setiap pagi, sebuah van lama diparkir di tepi jalan berhampiran Pasar Besar Kuantan setia menanti pelanggan yang mencari buah-buahan segar.
Meskipun sekadar van biasa, ia menjadi ‘kedai bergerak’ yang menjadi sumber rezeki dan sandaran hidup seorang warga emas.
Zakaria Ismail, 61, atau mesra dipanggil Pok Ya berkata, van itu ibarat ‘syurga kecil’ yang memudahkannya berniaga tanpa perlu membuka meja atau mengangkat barang berat setiap hari.
“Kalau berniaga guna van, boleh berhenti di mana-mana dan terus jual buah kepada pelanggan sebab semua buah sudah tersusun siap, lebih mudah.
“Dengan usia saya sekarang, memang tak larat nak angkat meja, buka kanopi dan susun barang setiap hari,” katanya ketika ditemui di Jalan Pasar Besar Kuantan, di sini pada Jumaat.
Bekas pegawai penjara itu memulakan perniagaan selepas berhenti kerja pada 1996, bermula dengan menjaja ikan dan sayur menggunakan motosikal tiga roda.
Selepas itu, beliau beralih kepada jualan buah sejak zaman pandemik Covid-19 dengan menjaja secara bergerak di sekitar daerah ini.
Bercerita lanjut, Pok Ya memberitahu, sebelum ini beliau pernah menyewa tapak untuk berniaga, namun terpaksa mengangkat dan menyusun semula barang setiap kali membuka atau menutup gerai.
“Bayar RM10 sehari pun, pagi-pagi kena angkat barang, buka meja dan tengah hari pula sudah kena tutup, punggah balik masuk van... penat.
“Kalau guna van, boleh berhenti berniaga depan bank, tepi kedai kopi, sambil minum air pun boleh buka jual,” ujarnya.
Mengenai bekalan buah, Pok Ya berkata, bekalan diperoleh daripada peraih di daerah ini yang membawa buah dari Perak, Kuala Lumpur, Johor atau Thailand bergantung kepada musim dan harga semasa.
“Buah memang banyak, tapi kalau ambil dari Johor mahal sikit, jadi saya ambil dari Thailand sebab bekalan tak putus.
“Masa rambutan baru keluar dulu, RM25 sekilo, sekarang turun RM12, tapi rambutan Thailand sekarang sudah kurang, jadi kita jual buah tempatan pula,” katanya.
Bagaimanapun, Pok Ya turut mengakui jualan kini tidak serancak dahulu.
Katanya, jika sebelum ini mampu menjual lima hingga enam bakul sehari, kini hanya satu bakul sahaja dijual dengan berat sekitar 20 hingga 25 kilogram.
“Tak tahulah ekonomi perlahan ke atau orang nak berjimat, tapi Alhamdulillah rezeki tetap ada,” katanya.