KOLEJ UNITI PORT DICKSON mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan lima pakej edutourism halal bertaraf antarabangsa sempena Osaka World Expo 2025 di Jepun pada Rabu.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa di Pavilion Malaysia, sekali gus mengangkat nama institusi pendidikan tinggi itu ke peringkat global.
“Kami amat berbesar hati apabila kesemua lima pakej edutourism halal yang dibangunkan telah mendapat kelulusan daripada pihak KPT. Ini membuktikan komitmen kami dalam memperkasakan pelancongan pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UNITI Halal Center - UHAC), Muhamad Elyas Harun.
Jelas Amir Hamzah, Jepun dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana negara matahari terbit itu menunjukkan permintaan tinggi terhadap pelancongan berteraskan pendidikan, khususnya yang menepati prinsip halal.
“Komitmen ini turut seiring dengan usaha KPT melalui Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi yang giat memperkasa ekosistem edutourism sebagai salah satu strategi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang menarik kepada pelajar dan pelancong global,” katanya.
Antara lima program edutourism halal yang diluluskan KPT ialah Halal Hospitality Unveiled: Culinary Experience to Cultural Values; Halal Bites & Sights: A Malaysian Adventure; Halal Livestock: From Farm to Fork; Halal Biz: Go Global, Grow Big! dan Adat Perpatih Heritage Journey: Exploring Negeri Sembilan's Cultural Legacy.
Potensi besar pasaran halal di Jepun
Sementara itu, Muhamad Elyas menjelaskan bahawa pasaran Jepun mempunyai potensi besar, terutamanya dengan peningkatan kesedaran terhadap keperluan produk dan perkhidmatan halal dalam kalangan penduduknya.
Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri halal dan rakan strategik antarabangsa amat penting dalam memastikan kejayaan program edutourism ini.
Osaka World Expo 2025 yang bertemakan Designing Future Society for Our Lives merupakan pameran berskala mega yang menghimpunkan lebih 150 negara dari seluruh dunia.
Acara berprestij itu menjadi platform penting bagi negara-negara mempamerkan inovasi, budaya, pendidikan dan teknologi, sekali gus membuka peluang kerjasama pelbagai sektor di peringkat global.
Maklumat lanjut mengenai program edutourism halal Kolej UNITI Port Dickson boleh diperolehi melalui laman web rasmi UHAC di https://unitihalalcentre.com/edutourism.