BANGKOK - Tentera Thailand mengesahkan sekurang-kurangnya sembilan orang awam terkorban dalam konflik bersenjata terbaharu bersama Kemboja.
Kenyataan itu dikongsi menerusi catatan di Facebook yang memaklumkan serangan ke atas stesen minyak di Ban Phue, wilayah Sisaket telah meragut enam nyawa orang awam manakala 10 yang lain cedera.
"Dua mangsa termasuk kanak-kanak berusia lapan tahun juga maut dalam serangan di kawasan Ban Chorok, Surin. Seorang lagi penduduk terbunuh di Ban Kut Chiang Mun di Ubon Ratchathani," menurut catatan itu lagi.
Terdahulu, Kementerian Luar Thailand memberitahu askar Kemboja melancarkan serangan artileri ke atas pangkalan tentera mereka dan menyasarkan kawasan orang awam termasuk hospital.
Susulan ketegangan yang semakin meningkat, Bangkok bertindak segera menutup kesemua pos pemeriksaan bersempadan dengan Phnom Penh.
Selain itu, lebih 40,000 penduduk di zon perbatasan juga dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga jika pertempuran menjadi lebih sengit.
Konflik bersenjata terbaharu itu dilaporkan berlaku di enam lokasi. - Agensi