MADRID - Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala sejumlah penumpang dikhuatiri cedera selepas dua kereta api laju bertembung di wilayah Toledo, tengah Sepanyol.
Pihak berkuasa infrastruktur rel negara itu memaklumkan perkhidmatan kereta api antara Madrid dan wilayah selatan Andalucia terpaksa digantung pada Rabu susulan tragedi tersebut.
Jurucakap kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, Esther Padilla berkata, jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan operasi menyelamat sedang giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa penumpang yang tersepit.
Nahas itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren hingga menyebabkan dua gerabak tergelincir dari landasan.
Serpihan logam yang bengkok, panel yang pecah dan sisa runtuhan turut kelihatan bertaburan di cerun di bawah landasan di laluan Madrid-Seville tersebut.
Sementara itu, Datuk Bandar Urda, Manuel Galan yang terletak berhampiran bandar Toledo berkata, beliau diminta oleh pasukan kecemasan menyediakan sebuah dewan sukan bagi menempatkan mangsa yang cedera.
Parti-parti politik utama Sepanyol yang sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum pada bulan depan turut menggantung kesemua aktiviti yang dijadualkan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Pedro Sanchez menyuarakan rasa terkejut setelah dimaklumkan tentang nahas itu.
Menurutnya, pasukan kecemasan sedang menjalankan operasi di lokasi kejadian bagi membantu mangsa dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“Saya menyampaikan rasa simpati, solidariti dan sokongan kepada semua mangsa serta ahli keluarga mereka,” katanya.
Media tempatan melaporkan kemalangan itu berkemungkinan lebih buruk berbanding tragedi kereta api di Adamuz yang mengorbankan 46 nyawa pada Januari lalu. - Agensi