Angka korban perlanggaran tren laju di Sepanyol meningkat kepada 64 orang

Iklan
Seorang anggota keselamatan menutup mangsa-mangsa di lokasi perlanggaran antara kereta api berkelajuan tinggi Renfe AVE dan sebuah kereta api Iryo, kira-kira 150 km di selatan Madrid, di antara Urda dan Los Yebenes di wilayah Toledo, pada Rabu - Foto: AFP

MADRID - Angka korban akibat perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di tengah Sepanyol pada Rabu meningkat lebih dua kali ganda kepada sekurang-kurangnya 64 orang, menurut kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, menjadikan insiden itu lebih buruk berbanding nahas tren yang meragut banyak nyawa berhampiran Adamuz pada Januari.

Perlanggaran itu berlaku pada pagi Rabu berhampiran Urda, kira-kira 130 kilometer ke selatan Madrid, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) yang memetik jurucakap kerajaan wilayah Esther Padilla ketika bercakap kepada televisyen Sepanyol.

Iklan
Iklan

Menurut penyiar awam Sepanyol RTVE, dua gerabak tren yang dikendalikan syarikat kereta api swasta Iryo tergelincir daripada landasan akibat perlanggaran itu sebelum terjunam ke bawah benteng landasan kereta api.

Padilla berkata seramai 146 penumpang dan seorang bayi berada di dalam tren Iryo, manakala 397 orang menaiki tren kedua yang dikendalikan syarikat kereta api milik kerajaan, Renfe.

Iklan

Punca kemalangan itu masih belum diketahui.

Menurut sumber daripada pengendali infrastruktur kereta api Sepanyol, Adif, yang bercakap kepada media tempatan, tren Iryo dipercayai berhenti atas sebab yang belum diketahui sebelum dirempuh dari belakang oleh tren Renfe sejurus sebelum 9 pagi waktu tempatan.

Iklan

Kedua-dua tren itu sedang menuju ke selatan ke arah Andalusia. - Bernama