Lima beradik bina syarikat hilang hak, tuntut penjelasan keputusan mahkamah

Iklan
Hishamuddin (tengah) bersama wakil MHO Sabah dan wakil ahli keluarga dalam sidang akhbar di pejabat MHO Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Ahli keluarga kepada pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang beroperasi sejak 1999 di negeri ini menuntut penjelasan daripada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) berhubung keputusan Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang didakwa membenarkan pemindahan pemilikan aset tanpa melalui proses mahkamah sivil.

Tuntutan itu dibuat oleh waris, iaitu adik-beradik kepada pemilik syarikat yang telah meninggal dunia pada 2020, selepas pemilikan aset termasuk saham syarikat dipercayai telah berpindah sepenuhnya kepada isteri mendiang.

Iklan
Iklan

Menurut wakil ahli keluarga dikenali sebagai Thien, 73, mereka terpaksa mendapatkan penjelasan daripada JHEANS selepas hanya menyedari bahawa lima beradik yang pernah berkongsi dana dan usaha membangunkan syarikat tersebut tidak lagi tersenarai sebagai penama dalam perusahaan itu.

"Perusahaan ini dibina bersama lima beradik lain pada tahun 1999. Masing-masing ada peranannya, saya dan dua adik sebagai pemandu bas, ada juga yang menjadi mekanik untuk membaiki bas, dan adik yang meninggal dunia ini bertindak sebagai pengurus syarikat di mana kami beri kepercayaan untuknya mentadbir syarikat.

Iklan

"Pada tahun 2020, adik saya telah meninggal dunia dan selepas itu kami tidak tahu kesemua aset telah ditukar nama pemilikannya sehingga kami menerima surat pengesahan waris daripada MAN pada 2021 bahawa kesemua aset telah diletakkan nama isteri mendiang.

"Usaha selama 30 tahun untuk membangunkan syarikat bersama ahli keluarga sudah tiada makna apabila kesemuanya telah diambil alih sedangkan ia diusahakan bersama-sama selama ini," dakwanya dalam sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MH0) di sini pada Khamis.

Iklan

Dakwanya lagi, keputusan MAN membenarkan pemindahan aset tersebut menjadi tanda tanya mereka sekeluarga dan mahu perkara itu diperjelaskan bagi mengelak berlaku pertikaian dalam kalangan keluarga.

"Isu ini sudah berlarutan sejak empat tahun lalu dan kami sudah berusaha bertemu dengan pelbagai peguam tetapi tiada jalan penyelesaiannya.

"Kami sudah tidak boleh buat apa-apa, jadi saya bertemu dengan wakil MHO untuk mendapatkan nasihat dan bantuan untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya tampil membantu keluarga terbabit mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan MAN tersebut.

"Kita minta daripada JHEANS untuk menyemak semula berhubung keputusan yang dibuat oleh MAN. Sebab isu ini ialah isu asas, berkaitan dengan bidang kuasa dan bukan berkaitan pertikaian.

"Adakah isunya perintah mahkamah itu boleh keluarkan berkaitan saham. Waris si mati juga merupakan pelabur dan tenaga kerja utama dalam syarikat keluarga berkenaan namun mereka tidak lagi menerima sebarang pulangan daripada perniagaan tersebut," katanya.

Jelasnya lagi, tuntutan penjelasan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang digariskan dalam Ordinan dan Enakmen berkaitan bidang kuasa MAN.

"Berdasarkan Seksyen 5 Ordinan Mahkamah Anak Negeri Sabah 1967, kuasa MAN jelas dan terbatas kepada yang berkaitan dengan adat, undang-undang peribumi, contohnya berkaitan harta adat, kes perkahwinan dan pusaka adat.

"Seksyen 5(1)(a) dan (b) menyebut bidang kuasa hanya meliputi di mana semua pihak adalah orang peribumi atau berkaitan persoalan adat dan agama serta kuasa lain.

"Begitu juga di bawah Seksyen 6 Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992, bidang kuasa MAN adalah terhad kepada isu berasaskan undang-undang atau adat anak negeri, khususnya berkaitan perkahwinan, pertunangan, penceraian, penjagaan anak, nafkah dan pembahagian harta pusaka menurut adat," jelasnya.

Susulan daripada itu, katanya, surat tuntutan penjelasan telah dihantar melalui surat kepada JHEANS dua minggu lalu, namun mereka masih menunggu maklum balas.

"Mungkin dalam tempoh terdekat ini kita akan pergi sekali lagi untuk terus mendapatkan campur tangan pihak yang terlibat supaya aduan kita dilayan untuk menjawab persoalan ini saja, adakah MAN boleh mengeluarkan satu keputusan berkaitan saham syarikat," katanya.