Tindakan terhadap Maxim, Indrive dipersoal

Iklan
Dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia. Foto hiasan

SHAH ALAM – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) mempersoalkan tindakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang membenarkan syarikat e-hailing, iaitu InDrive dan Maxim terus beroperasi walaupun di bawah pemantauan selama tiga bulan.

Menurutnya, langkah itu dipertikai kerana terdapat pemandu syarikat terbabit yang kononnya melanggar peraturan dengan terus beroperasi walaupun Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) telah tamat sebelum ini.

Iklan
Iklan

Persatuan itu memberikan contoh bahawa aplikasi Maxim didakwa masih membenarkan pemandu menjalankan perkhidmatan tanpa sekatan walaupun EVP telah tamat tempoh selama tujuh bulan.

"Jika EVP telah luput, namun masih menawarkan perkhidmatan, maka anda dianggap kereta sapu. Yang peliknya, EVP sudah tamat, masih boleh guna aplikasi. Ini bukan pertama kali.

Iklan

"Kedua-dua syarikat, satu dari Amerika, satu dari Rusia itu bukan peduli pun undang-undang negara. Sebelum ini, syarikat terbabit telah melanggar undang-undang. Itu bukti sahih. Kenapa APAD beri muka?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, APAD memaklumkan InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula Khamis, meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.

Iklan

Tindakan tegas seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 12A(5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] boleh dikenakan sekiranya mereka didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Selain itu, Penghantar Malaysia turut mempertikaikan tindakan agensi tersebut yang mengeluarkan kenyataan mengenai tempoh percubaan dua syarikat terbabit pada Rabu, namun tiada kenyataan dikeluarkan ketika lesen mereka dibatalkan sebelum ini.

Tambahnya, pihak mereka juga tertanya-tanya tentang layanan yang diberikan APAD terhadap Maxim dan InDrive apabila sanggup mengambil alih tugas syarikat pengendali e-hailing (EHO) termasuk membuat semakan silang.

"Mengapa EHO lain boleh buat penguatkuasaan kendiri, tetapi Maxim dan InDrive istimewa sangat sampai APAD perlu ada kakitangan untuk buat semakan silang?" ujarnya.