Suri rumah trauma, dua kali kawasan rumah diceroboh harimau

Iklan
Azlina (tengah) menunjukkan kesan yang ditinggalkan haiwan itu berdekatan rumahnya di Kampung Belimbing, Hulu Dungun.

DUNGUN -"Bukan sekali, tetapi dua kali harimau datang ganggu rumah saya."

Demikian luahan seorang suri rumah yang masih trauma apabila mendakwa kediamannya di Kampung Belimbing, Hulu Dungun, dua kali didatangi haiwan buas itu sejak awal minggu lalu.

Iklan
Iklan

Azlina Arif, 35, berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 3.30 pagi Isnin lalu, ketika beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising seperti sesuatu sedang bergerak di kawasan reban ayam yang terletak hanya dua meter dari biliknya.

“Saya tidur bersama anak, dan apabila terdengar bunyi bising, saya sangka orang. Tetapi apabila saya buka tingkap dan menyuluh, saya tergamam melihat seekor harimau besar sedang mengganggu reban ayam.

Iklan

“Masa itu, tangan dan badan saya menggigil. Saya cuba memanggil ayah dan abang, tetapi suara tidak keluar kerana terlalu takut,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, selepas keadaan kembali reda, beliau terus berlari ke bilik keluarga lain untuk memaklumkan kejadian itu.

Iklan

“Apabila mereka melihat dari tingkap, harimau itu sudah tiada. Saya tidak sempat mengambil telefon atau merakam kerana terlalu panik.

“Keesokan harinya, kami dapati seekor ayam hilang dan sangkarnya pula dijumpai di belakang rumah,” katanya lagi.

Azlina (kanan) bersama bapanya, Arif Hussin menunjukkan sangkar ayam yang dilarikan harimau dalam kejadian malam Isnin lalu.

Azlina berkata, malam berikutnya beliau sekali lagi terdengar bunyi yang sama dan percaya ia datang daripada harimau yang sama.

“Malam semalam (Selasa) pun saya terdengar semula bunyi kuat seperti sesuatu jatuh. Apabila kami periksa pada pagi esoknya, terdapat kesan tapak kaki harimau di sekitar rumah. Memang sah ia datang kembali ke kawasan rumah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kehadiran harimau yang kerap dilihat berkeliaran di kampung tersebut membimbangkan penduduk, apatah lagi lokasi kejadian sangat hampir dengan rumah.

“Kita harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap harimau ini segera kerana ia sangat hampir dengan kawasan penduduk. Minggu lepas, harimau ini mencuri daging, kali ini ayam pula dilarikan. Penduduk menjadi takut untuk keluar rumah pada waktu malam,” katanya.

Menurut beliau, pihak Perhilitan telah memasang perangkap berhampiran lokasi kejadian untuk menangkap haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata pihaknya masih menjalankan pemantauan dan kawalan secara berterusan di kampung berkenaan.

“Kita percaya harimau berkenaan adalah harimau kumbang berdasarkan jejak dan maklumat yang dikumpul daripada penduduk.

“Justeru, penduduk diminta sentiasa berwaspada dan melaporkan segera kepada pihak Perhilitan sekiranya terdapat sebarang maklumat terkini,” katanya.