Identiti pucuk rebung Rasta Rashid dalam siluet monokrom

Iklan
Rekaan Batek by Rasta Rashid kali ini lebih menjurus kepada pakaian santai, ‘resort wear’ dan kasual kemas.

TAMPIL bergaya dengan rekaan lebih segar, ringkas dan unik! Pereka fesyen popular tanah air, Rasta Rashid menonjolkan keunikan rekaan busana bertemakan ‘Monochrome Mythos’ sempena The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (TKLMFW) 2025.

Masih mengekalkan identiti rekaan uniknya menerusi motif pucuk rebung pada bahagian belakang, pemilik nama sebenar Rastawati Dewi Abdul Rashid tersebut mengetengahkan 10 sentuhan karya dengan nuansa lebih elegan.

Iklan
Iklan

Anak jati Pahang yang terkenal dengan gelaran ratu kostum itu berkata, konsep bermotifkan batik abstrak dan pucuk rebung yang diletakkan pada bahagian belakang menjadi inspirasi utama dalam peragaan kali ini.

“Penggunaan rona hitam, biru gelap dan putih yang digabungkan dengan fabrik linen polos menambahkan lagi nilai eksklusif dalam koleksi Batek by Rasta Rashid terbaharu.

Iklan

Antara rekaan terbaharu Batek by Rasta Rashid sempena sempena TKLMFW 2025.

“Pengenalan pucuk rebung untuk setiap koleksi adalah satu identiti yang tidak dapat disangkal kerana di sinilah bermulanya idea saya sebagai pereka yang menggunakan batik sarung sebagai fabrik pilihan sejak tertubuhnya jenama ini,” katanya.

Iklan

Rasta yang juga Presiden Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) berkata, rekaan kali ini lebih menjurus kepada pakaian santai, ‘resort wear’ dan kasual kemas yang selesa dipakai dan amat bersesuaian dengan cuaca di Malaysia dan negara luar.

“Batek by Rasta Rashid memang terkenal dengan pakaian santai dan kasual kemas, cuma kali ini saya lebih memfokuskan kepada penggunaan warna yang lebih ringkas.

“Dari segi pemilihan fabrik pakaian kasual santai, saya memilih fabrik kapas dan linen manakala gabungan fabrik kulit dan Italian Satin Duchesse untuk kasual kemas demi menampakkan tampilan lebih mewah,” ujarnya.

Rasta Rashid menonjolkan keunikan rekaan busana bertemakan ‘Monocherome Mythos’ sempena TKLMFW 2025.

Penganjuran sulung oleh pengasas, Tengku Sri Kelana D’raja Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah itu tidak sekadar minggu fesyen, malah beliau mencetuskan satu kebangkitan maskulin.

Acara berprestij yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil itu turut mempersembahkan ciptaan stail pereka fesyen lain.

Antaranya ikonik fesyen MBDA yang mengambil bahagian bertemakan The Rhythm of Malaysia itu seperti Azammoff, Kalai House of Linen, Jay K, Maswira Majid, Hermosa, Rushai Leather dan Kashfi Zulkufli di M Hotel & Resort Kuala Lumpur.

Inisiatif tersebut sejajar dengan matlamat untuk menyerlahkan bakat kreatif tempatan merangkumi pereka fesyen, penata gaya dan pencinta fesyen yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

MBDA juga komited untuk mengetengahkan bakat fesyen baharu dan meraikan keunikan gaya dan budaya Malaysia dengan penekanan terhadap kelestarian, kepelbagaian, inovasi serta ketukangan.