BUENOS AIRES - Datuk Bandar Reduccion, sebuah bandar di wilayah Cordoba di tengah Argentina, maut pada Selasa selepas pesawat yang dinaikinya terhempas, menurut pihak berkuasa wilayah, lapor Xinhua.
Pesawat yang membawa Jorge Grazziano itu terhempas di kawasan ladang antara Villa Mercedes dan Justo Daract di wilayah San Luis, kira-kira 700 kilometer barat laut ibu negara Buenos Aires.
Gabenor Cordoba, Martin Llaryora menyampaikan"ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan” mangsa.
"Saya turut mengutuskan salam takziah kepada seluruh komuniti yang pernah mendapat khidmat Jorge, seorang yang bekerja tanpa jemu dan penuh dedikasi. Beliau akan dikenang atas jasanya dalam perkhidmatan awam, komitmennya terhadap pembangunan Reduccion dan usahanya yang berterusan untuk memajukan kawasan selatan wilayah ini,” kata beliau.
Pasukan Pertahanan Awam, bomba dan polis wilayah terlibat dalam operasi bantuan di lokasi kejadian dan mengawal kawasan tersebut bagi memudahkan siasatan.
Mahkamah persekutuan telah mengambil alih siasatan bagi menentukan punca nahas tersebut. - Bernama