KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi menjadi antara peneraju utama dalam bidang teknologi dan inovasi global sekiranya bakat muda dalam bidang robotik diberi sokongan padu serta pendedahan lebih meluas sejak di bangku sekolah.
Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata, program seperti FIRST Global Challenge bukan sahaja membina kemahiran teknikal malah mengasah jati diri, daya tahan serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Pertandingan ini membuktikan bahawa walau dalam apa jua keadaan termasuk semasa pandemik namun semangat menuntut ilmu dan kolaborasi tidak pernah luntur.
"Saya berbangga melihat bagaimana pelajar-pelajar muda ini berubah daripada individu pemalu menjadi pemikir strategik dan jurutera yang yakin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis pembukaan Malaysia FIRST Global Challenge 2025 di MRANTI Park di sini pada Rabu.
Tunku Zain turut menzahirkan penghargaan terhadap guru, mentor dan organisasi seperti Roboticist Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam membawa pendidikan robotik ke peringkat lebih tinggi selama lebih satu dekad.
“Usaha Roboticist dalam membina minat dan akses terhadap teknologi robotik dalam kalangan pelajar termasuk dari sekolah luar bandar seperti di kampung halaman saya di Seri Meranti, Negeri Sembilan sangat membanggakan.
"Ramai dalam kalangan mereka tidak pernah ke luar negara, malah tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi dengan penyertaan dalam FIRST Global, mereka bukan sahaja menjadi pakar dalam bidang robotik malah menjadi duta kecil negara,” ujarnya.
Beliau juga mengiktiraf peranan penting MRANTI dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam merintis peluang kerjasama sektor awam dan swasta dalam bidang pendidikan teknologi.
“MRANTI telah memainkan peranan penting dalam memacu agenda inovasi negara. Saya menyeru agar model kejayaan program ini diperluaskan ke seluruh negara agar setiap pelajar dari pedalaman Sabah dan Sarawak hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur mempunyai akses sama rata terhadap pendidikan robotik dan kemahiran digital,” jelasnya.
Program Malaysia FIRST Global Challenge merupakan platform persediaan pasukan Malaysia bagi pertandingan robotik terbesar di dunia, FIRST Global Challenge 2025 yang akan diadakan di Panama City dari 29 Oktober hingga 1 November ini.