PARIT – Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai barangan bernilai RM31.3 juta dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara berselindung di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Senggang, di sini pada Selasa.
Serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah serta Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah menerusi operasi bersepadu Op Hazard.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan menemukan pelbagai kelengkapan di kawasan kilang terbabit yang disyaki digunakan untuk pemprosesan e-waste secara haram.
Menurutnya, pasukan operasi turut menemui bongkah-bongkah e-waste yang telah dimampatkan dan belum diproses.
“Kilang ini terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama dan terdapat sebuah treler yang mengandungi bongkah-bongkah mampat disyaki e-waste yang belum diproses.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 81 bongkah disyaki e-waste dengan anggaran berat 105,300 kilogram (kg) serta arang batu seberat 5,000kg,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah lori dan dua kenderaan pacuan empat roda dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM31,337,000.
Tambah beliau, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 35 hingga 70 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Bongkah-bongkah e-waste yang dirampas akan diserahkan kepada JAS Perak bagi tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 3 PGA bagi mengesan sindiket atau individu yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen dan permit sah,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18, 19, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946, serta Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.