Restoran makanan Bangladesh di Bukit Bintang diserbu Imigresen

Iklan
JIM Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah restoran di Bukit Bintang pada Selasa. Gambar kecil: Wan Mohammed Saupee

KUALA LUMPUR - Sebuah restoran dipercayai milik warga Bangladesh di Bukit Bintang di sini yang beroperasi dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur pada Selasa.

Operasi bermula kira-kira jam 10 malam itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Seorang pekerja tempatan yang ditemui mengakui premis terbabit dimiliki abang iparnya yang merupakan seorang warga Bangladesh berusia lingkungan 50-an sejak kira-kira 10 bulan lalu

Premis terbabit menjual makanan dari Bangladesh dan kebanyakan pelanggan juga difahamkan dalam kalangan warganegara terbabit.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan itu dijalankan susulan aduan awam berhubung pekerja membabitkan PATI.

Menurutnya, dalam operasi itu seramai 20 warga asing telah diperiksa di premis terbabit dan tiga daripadanya disyaki PATI telah ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Iklan

“Pasukan turut membuat pemeriksaan ke atas 11 warga asing di sekitar premis terbabit dan menahan tujuh PATI kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Mohammed Saupee berkata, pihaknya turut melakukan dua lagi serbuan berasingan di sekitar Setapak dan Cheras menerusi Ops Sapu serta Ops Kutip.

Katanya, serbuan di sebuah rumah milik warga tempatan telah menahan tiga PATI, manakala serbuan satu unit kondominium telah menahan empat PATI.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.