GEORGE TOWN - Seorang pekerja warga Indonesia maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengendalikan jentera berat di sebuah kuari di Sungai Jawi pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pemandu 'dump truck' di bawah syarikat subkontraktor, dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan bercerun sebelum merempuh zon keselamatan (crash zone) di kawasan 'rock face' kuari berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
"Kita telah menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan yang diklasifikasikan sebagai kemalangan industri.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan kawalan semasa mengendalikan kenderaan berat di kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, JKKP Pulau Pinang turut mengeluarkan tiga notis larangan dan dua notis perbaikan kepada pihak terlibat serta mengarahkan majikan mengemukakan dokumen berkaitan selain menjalankan siasatan dalaman.
"Siasatan susulan akan diteruskan dengan pemeriksaan dokumen dan rakaman percakapan saksi-saksi yang telah dikenalpasti.
“Tindakan perundangan boleh diambil mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 jika terdapat pelanggaran undang-undang,” katanya.
Beliau berkata lagi, majikan bertanggungjawab memastikan pekerja diberikan latihan mencukupi serta langkah kawalan risiko yang bersesuaian sebelum mengendalikan jentera atau tugasan berisiko tinggi.
“Setiap nyawa adalah tidak ternilai.
"Kemalangan boleh dicegah sekiranya aspek keselamatan diberi keutamaan sepenuhnya,” ujarnya.