Cubaan seludup ganja guna lori sayur, bas ekspres gagal

Iklan
Pemeriksaan rapi oleh kastam menemui ganja yang diisi di dalam kotak dan disorokkan di bahagian belakang tempat pemandu lori sayur. Foto Kastam Kedah

BUKIT KAYU HITAM - Cubaan menyeludup lebih 34 kilogram (kg) ganja dan bunga ganja merentasi sempadan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam gagal apabila kegiatan mereka berjaya dihidu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, dalam dua operasi berasingan, pihaknya bukan sahaja berjaya merampas dadah bernilai lebih RM188,000, malah turut menahan tiga suspek lelaki termasuk dua beradik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada 26 Jun lalu, hasil maklumat dan risikan melalui Operasi Barrier, pasukan Cawangan Collaborated Border Management (CBM) JKDM Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori jenis Nissan yang membawa muatan sayur-sayuran pada jam 10.10 malam.

“Pemeriksaan rapi membawa kepada penemuan dua kotak yang disorok di belakang tempat duduk pemandu. Di dalamnya, terdapat sejumlah bungkusan plastik lutsinar berisi ganja seberat 18.75kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM57,187,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Jelas Wan Marini, pemandu lori berusia 48 tahun itu dipercayai cuba mengambil kesempatan terhadap suasana malam dan muatan dagangan yang kelihatan tidak mencurigakan bagi melepasi sempadan tanpa pemeriksaan ketat, namun tindakan pantas pegawai CBM berjaya menggagalkan cubaan itu.

Menurutnya, pada 28 Jun jam 4.50 petang, dua beradik berusia 21 dan 24 tahun yang menaiki bas ekspres dari negara jiran turut dicekup di Cawangan Pemeriksaan Penumpang ICQS Bukit Kayu Hitam setelah bagasi mereka didapati mengandungi bungkusan mampat yang disyaki dadah.

Iklan

“Pemeriksaan rapi terhadap bagasi-bagasi yang dibawa oleh kedua-dua lelaki terbabit menjumpai 15 bungkusan kecil pelbagai saiz ketulan mampat yang disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 875.30 gram bernilai RM86,522.40 dan 87 bungkusan pelbagai saiz ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja seberat 14.599kg bernilai RM45,257.03.

“Jumlah keseluruhan tangkapan adalah sebanyak 15.474kg dengan nilai dianggarkan sebanyak RM131,779.43, sekali gus mematahkan usaha menyeludup dadah menggunakan pengangkutan awam,” ujarnya.

Tambah Wan Marini, pihaknya akan terus memperketat kawalan sempadan dan menyeru orang awam agar menjadi mata dan telinga dalam memerangi jenayah penyeludupan.

“Penyeludupan dadah bukan sekadar jenayah, ia mengancam kesejahteraan rakyat serta membawa kesan buruk kepada negara dari segi hasil dan keselamatan,” katanya.