KUALA LUMPUR - Dua wanita warga India yang diperdaya selepas dijanjikan kerja sebagai tukang jahit dan menjadi mangsa pukul majikannya diselamatkan polis di sebuah rumah di Wangsa Maju di sini pada Selasa.
Operasi Op Pintas kira-kira jam 9 malam itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hasil maklumat dan risikan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seorang lelaki warga India berusia 30 tahun telah ditahan.
Menurutnya, suspek dipercayai berperanan sebagai majikan dan ejen akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Atipsom 2007.
"Dua mangsa pemerdagangan orang iaitu wanita warga India berusia 20 dan 22 tahun diselamatkan di rumah terbabit kerana diperdaya serta dieksploitasi kerja paksa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dijanjikan kerja sebagai tukang jahit dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan, namun mereka tidak menerima bayaran dijanjikan itu.
Tambahnya, disebabkan tidak menerima gaji, dua-dua mangsa enggan bekerja sehingga suspek bertindak mencederakan mangsa.
"Mangsa berada bersama suspek sejak Disember tahun lalu.
"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami cedera pada lutut dan dahi kerana dipercayai dipukul menggunakan kipas angin," ujarnya.