SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil langkah tegas dalam menangani isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini, termasuk tindakan tatatertib dan undang-undang terhadap pegawai yang bermasalah.
Ahli Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pegawai yang didapati cuai, menyeleweng atau melanggar peraturan mesti dikenakan tindakan disiplin atau pendakwaan dengan segera.
Ujar beliau, mekanisme pemantauan dalaman perlu diperkukuh dan diberi autonomi bagi melaksanakan pemantauan secara berterusan.
"Semua agensi kerajaan wajib melaksanakan proses perolehan yang lebih telus, dan satu sistem pemantauan perolehan secara dalam talian yang boleh diakses oleh orang awam harus diwujudkan.
"Selain audit kewangan, audit integriti secara berkala harus dijalankan, terutama di jabatan berisiko tinggi, bagi mencegah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, LKAN Siri 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin mendedahkan tiga ketakteraturan serius melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM460 juta, membabitkan Felcra Berhad, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Tentera Darat Malaysia.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, dapatan tersebut adalah hasil audit terhadap lima pengauditan yang melibatkan tujuh kementerian, dengan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.87 bilion.
Menurut Lam Thye, yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu diberikan kuasa yang lebih luas, termasuk memanggil ketua jabatan dan menteri yang bertanggungjawab.
“Parlimen tidak harus sekadar menerima laporan, tetapi perlu menjadi pemantau yang berkesan.
“Rakyat berhak menuntut tadbir urus yang lebih cekap dan berintegriti. Adalah tidak adil apabila rakyat membayar cukai dengan penuh tanggungjawab, tetapi dana awam terus dibazirkan tanpa pengurusan yang berhemah,” ujarnya.
Tambah beliau, laporan LKAN tersebut mencerminkan kelemahan dalam aspek pentadbiran serta kegagalan serius dalam integriti dan akauntabiliti.
“Ketelusan masih tidak diamalkan sepenuhnya, manakala sebahagian penjawat awam dan pihak berkepentingan bertindak seolah-olah tiada undang-undang yang perlu dipatuhi.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan bukan sekadar mendengar laporan Ketua Audit Negara, tetapi benar-benar bertindak ke atasnya,” tegas beliau.