Kerajaan perlu tangani penghijrahan tenaga perubatan ke luar negara

Iklan
Dr Azura (dua dari kanan) bersama Jamilah (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian Perasmian Careclinics Poliklinik Maxwell di sini baru-baru ini.

IPOH – Penghijrahan tenaga kerja perubatan Malaysia ke luar negara khususnya ke Singapura perlu ditangani segera menerusi pelaksanaan dasar yang lebih proaktif dan mesra doktor bagi mengekalkan kepakaran dalam negara.

Pengerusi Care Clinics Healthcare Services (CCHS), Dr Azura Ahmad berkata, fenomena 'brain drain' ini semakin membimbangkan apabila banyak negara luar seperti Singapura mengambil peluang menarik doktor dan pakar perubatan tempatan dengan tawaran gaji lumayan serta persekitaran kerja yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penghijrahan tersebut boleh dikawal sekiranya Malaysia mempunyai ekonomi yang lebih kukuh dan dasar gaji doktor disemak semula.

“Pakar perubatan adalah tenaga yang sangat diperlukan tetapi jumlahnya tidak ramai. Bila mereka ditawarkan gaji lebih tinggi atau suasana kerja lebih kondusif di luar negara, mereka cenderung untuk berhijrah. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana itu adalah hak mereka.

Iklan

“Namun, ini memberi kesan kepada sistem kesihatan awam di Malaysia kerana kebanyakan yang berhijrah datang dari sektor kerajaan. Sektor swasta pula masih menawarkan gaji kompetitif, jadi penghijrahan dari sektor ini agak kurang,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Careclinics Poliklinik Maxwell di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Perak, Jamilah Zakaria.

Iklan

Hadir sama, Pengarah dan Ketua Kewangan Kumpulan CCHS, Dr Romel Rauf Al-Abbas serta Penolong Pengurus Wilayah CCHS, Divesh Sharma.

Mengulas lanjut, Pengurus Tadbir Urus Kanan CCHS, Dr V Thinesh mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula struktur bayaran kepada doktor yang tidak berubah sejak 20 tahun lalu bagi membendung penghijrahan ke luar negara.

“Sekarang ini, Singapura bukan sahaja mengambil doktor lulusan universiti ternama seperti USM (Universiti Sains Malaysia) dan UM (Universiti Malaya), malah mereka wujudkan jawatan baharu seperti clinical associate untuk ambil lebih ramai doktor Malaysia. Ini sudah tentu beri kesan kepada negara.

“Kami di sektor swasta pun terkesan kerana doktor kita semakin berkurang. Justeru, kerajaan perlu bantu dengan menyemak semula kadar bayaran kepada doktor agar mereka tidak rasa terpinggir,” katanya.

Sementara itu, dalam masa sama, Dr Azura menjelaskan CCHS kini mengendalikan lebih 180 klinik di seluruh negara dengan 15 daripadanya beroperasi di Perak dan menyasarkan pertambahan kepada 300 menjelang 2026.

Jelasnya, dengan kombinasi teknologi, latihan serta pendekatan berfokuskan komuniti, CCHS komited untuk memberi perkhidmatan rawatan primer yang berkualiti dan telus di seluruh negara.