Pemandu mogok: Dua kertas siasatan dibuka terhadap syarikat bas

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai keadaan sesak di sekitar BSI susulan pemandu bas mogok.

PUTRAJAYA – Dua kertas siasatan telah dibuka terhadap sebuah syarikat pengendali bas susulan insiden mogok melibatkan pemandunya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), siasatan serta-merta telah dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sejurus menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Siasatan awal mendapati punca utama mogok adalah tindakan syarikat membuat potongan gaji tanpa penjelasan, menamatkan pemberian elaun tugas khas tanpa sebarang notis serta dakwaan kegagalan membayar kerja lebih masa.

"Bagaimanapun, ramai pemandu enggan membuat aduan rasmi kerana bimbang dikenakan tindakan," menurut kenyataan itu.

Iklan

Kesuma turut memaklumkan, pemeriksaan lanjut ke atas premis syarikat mendapati ia sebelum ini melanggar Peraturan-Peraturan Pekerjaan (Had Kerja Lebih Masa) 1980, hasil operasi sektor pengangkutan oleh JTKSM pada 17 Julai lalu.

“Dalam operasi itu, pemandu syarikat berkenaan direkodkan telah bekerja lebih 104 jam kerja lebih masa dalam tempoh sebulan, melebihi had yang ditetapkan undang-undang.

Iklan

"Sehubungan itu, dua kertas siasatan telah dibuka terhadap syarikat berkenaan, menjadikannya antara 34 kertas siasatan yang dibuka ke atas 32 syarikat yang diperiksa dalam operasi sama,” jelas kenyataan itu lagi.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kerja 1955, manakala empat lagi di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesuma menegaskan bahawa semua majikan wajib mematuhi peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan potongan gaji pekerja.

“Majikan yang melakukan potongan gaji tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, telah mengarahkan agar tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana syarikat yang gagal mematuhi undang-undang.

Dalam masa sama, Kesuma turut menggesa mana-mana pekerja yang berdepan isu berkaitan potongan gaji tidak sah, bayaran kerja lebih masa yang tidak dibayar atau layanan tidak wajar oleh majikan, supaya tampil membuat aduan rasmi kepada JTKSM.

Aduan boleh dikemukakan menerusi talian hotline 03-8886 5192 / 5937 atau emel ke jtksm@mohr.gov.my untuk siasatan dan tindakan segera.