KEPALA BATAS - Madrasah Al-Aminiah Bertam, di sini merayu bantuan dan sokongan masyarakat bagi mengumpul dana kecemasan berjumlah RM250,000 berikutan terpaksa mengosongkan bangunan yang dihuni ketika ini sebelum 1 September depan.
Pengerusi merangkap Mudir Am Madrasah Al-Aminiah, Mohd Fazrol Hakimi Md Radzi berkata, arahan mengosongkan bangunan yang disewa sejak 2016 perlu dibuat selepas enam daripada sembilan lot premis berkenaan telah dibeli oleh sebuah syarikat multinasional.
Menurutnya, mereka menerima notis untuk mengosongkan bangunan pada 15 Jun lalu dan berdepan dengan kekangan kewangan untuk berpindah dalam tempoh yang singkat.
"Perpindahan segera perlu dilakukan bagi memastikan 230 pelajar dan 20 kakitangan termasuk guru tidak terjejas, khususnya dalam aspek pengajian.
"Kami telah melancarkan tabung rayuan derma kilat melalui media sosial, namun sehingga kini dana yang dikumpul masih belum mencukupi.
"Kami buntu mencari dana dalam waktu terdekat ini kerana tidak mahu anak-anak di sini terjejas pengajian mereka selain ibu bapa amat mengharapkan pengajian anak-anak tidak terganggu dengan isu perpindahan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mohd Fazrol berkata, pihak madrasah turut memanjangkan perkara ini kepada Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan berharap sokongan daripada masyarakat untuk bersama membantu.
Katanya, situasi dihadapi kini turut memberi tekanan kepada pelajar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi.
"Seramai 14 pelajar akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan peperiksaan percubaan bermula 4 Ogos ini, manakala 9 pelajar akan mengambil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan bermula 21 September depan.
"Di sini Madrasah Al-Aminiah Bertam kami menawarkan pengajian akademik, tahfiz, ilmiah dan vokasional yang membekalkan pelbagai kemahiran termasuk kursus Pendawaian Elektrik sehingga tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3,"katanya
Jelas Mohd Fazrol Hakimi, madrasah berkenaan bakal berpindah ke kawasan Setia Fontainers, dan kos sebanyak RM250,000 diperlukan bagi tujuan pembayaran deposit dan kerja-kerja pengubahsuaian di premis baharu.
"Untuk peringkat permulaan, kami akan menyewa terlebih dahulu dan selepas itu kami bercadang melancarkan Dana Wakaf bagi memiliki bangunan sendiri sebagai operasi kekal madrasah.
Tambahnya, madrasah itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sejak tahun 2016.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam 07043011037469 atas nama Madrasah Al-Aminiah Bertam.